KAPAL mewah Equanimity. FOTO arkib NSTP
KAPAL mewah Equanimity. FOTO arkib NSTP
Mohd Azam Shah Yaacob


JABATAN Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) hari ini menafikan terbabit dalam urusan pemindahan hak kapal layar mewah 'Equanimity' yang dibuat antara kerajaan Indonesia dan Malaysia.

Makluman berkenaan dibuat DoJ kepada Mahkamah Daerah California Tengah dalam proses kemaskini maklumat berhubung perkembangan terhadap kes kapal layar itu sekaligus mengulangi pendirian bahawa kerajaan AS tidak terbabit dalam urusan pemindahan Equanimity itu.

Kenyataan DoJ itu dilaporkan portal berita yang menyatakan bahawa Equanimity Ltd dalam pemfailannya selaku penuntut kapal layar berkenaan mendakwa bahawa kerajaan Amerika Syarikat (AS) bekerjasama atau membantu dalam penyerahan kapal layar berkenaan dari Indonesia ke Malaysia.

Sebagai maklum balas terhadap dakwaan Equanimity Ltd, DoJ menyatakan tidak terbabit dalam proses pemindahan kapal yang kini berada dalam jagaan kerajaan Malaysia.

"Dalam koresponden baru-baru ini dengan kerajaan, pihak menuntut Equanimity , iaitu Equanimity Ltd mendakwa bahawa kerajaan AS bekerjasama atau membantu dalam penyerahan kapal layar dari Indonesia ke Malaysia.

"Bagaimanapun, selain tindakan yang digariskan dalam Perenggan 7 di atas, yang mana kedua-duanya adalah perlu dan sesuai bagi mengekalkan keselamatan kapal layar itu, kerajaan AS tidak memempunyai peranan dalam memindahkan kapal layar itu dari Indonesia ke Malaysia," katanya.

Namun, laporan itu menyatakan bahawa DoJ ada memaklumkan anak kapal Equanimity yang dilantik kerajaan AS untuk mematuhi arahan pihak berkuasa Indonesia selepas syarikat pengurusan Equanimity bertanya sama ada mereka patut berbuat demikian atau tidak ketika ia dalam pelayaran dari Pulau Batam bagi proses pemindahan.

Selain itu juga, portal itu juga turut melaporkan bahawa dalam Perenggan 7, kapal itu tidak akan dibiarkan tanpa penjagaan dan kru sekaligus mengekalkan kontrak dengan Wilson Yacht Management (WYM) sehingga 7 Ogos lalu.

"Ia bersesuaian dengan nasihat DoJ yang dibuat pada 15 Jun lalu bahawa pihak pengurusan harus mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan Indonesia," katanya.

Portal itu menyebut bahawa makluman DoJ itu sekaligus bertentangan dengan kenyatan dibuat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, termasuk kenyataan dikeluarkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong yang sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa keraan AS bersetuju untuk pemindahan hak penjagaan Equanimity.

Kenyataan DoJ itu sekaligus dilihat menyokong kenyataan peguam Equanimity yang menyatakan bahawa tindakan Malaysia dan Indonesia itu mengatasi kuasa mahkamah termasuk Mahkamah Pusat California.

Dalam kemaskini pemfailan itu, DoJ turut menyenaraikan pelbagai langkah diambil bagi mematuhi arahan mahkamah pada 15 Mei lalu yang memberikan perlindungan terhadap Equanimity sehingga ia dibawa balik ke perairan AS bagi urusan penjualan.

"Biarpun Equanimity Ltd sebelum ini menentang jualan kapal layar berkenaan, bagimanapun syarikat pengurusan kapal layar itu kini bersetuju ia dijual di Pameran Bot Antarabangsa Fort Lauderdale.

"Namun, pihak berkuasa Indonesia tidak pernah memindahkan hak penjagaan kapal itu kepada Equanimity Ltd atau kepada kerajaan AS, biarpun diarahkan berbuat oleh Mahkamah Wilayah Jakarta Selatan pada 17 April lalu," katanya.

Dalam masa sama, laporan itu turut menyebut bahawa kerajaan AS sudah membuat persiapan membawa pulang Equanimity sejak Jun lalu dan merangka pelan pelayaran pulang yang sepatutnya dibuat pada 11 Julai lalu atas rahan kerajaan AS.

Pelan itu termasuklah bagi mengisi minyak kapal, mendapatkan visa serta dokumen lain selain kelulusan membayar gaji kru Equanimity yang tertunggak.

"Dengan kelulusan kerajaan AS, WYM juga mengupah syarikat perkhidmatan marin AS bagi membenarkan Equanimity berlabuh sementara di Guam menerusi sijil yang diperoleh pada 27 Julai lalu.

"Kerajaan AS mengetahui bahawa Indonesia telah mengarahkan kapal layar itu belayar ke lokasi berhampiran sempadan maritim Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 5:43 PM