ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan tiga mangsa yang rentung selepas kereta dinaiki terbakar dalam satu kemalangan bertembung dengan treler di kilometer 39 Jalan Kudat - Kota Kinabalu, Kampung Hobut. FOTO/IHSAN BOMBA.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan tiga mangsa yang rentung selepas kereta dinaiki terbakar dalam satu kemalangan bertembung dengan treler di kilometer 39 Jalan Kudat - Kota Kinabalu, Kampung Hobut. FOTO/IHSAN BOMBA.
Junaidi Ladjana

TIGA beranak rentung apabila kereta dinaiki terbakar selepas bertembung treler di Kilometer 39 Jalan Kudat - Kota Kinabalu di Kampung Hobut, Kudat, malam semalam.

Dalam kejadian jam 8.20 malam, dua mangsa ditemui di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, manakala seorang lagi ditemui di tempat duduk belakang.

Pemandu treler pula mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, ketika kejadian tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Tambulian selepas menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di Matunggong.

Ketika tiba di lokasi, Proton Saga dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler dari arah Kudat menuju ke Kota Kinabalu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan jam 8.26 malam, sebuah jentera dan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan ( EMRS) bersama 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Anggota bomba membuat pemadaman sebelum mengeluarkan ketiga-tiga mangsa terbabit. Semua mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela Pinawantai dan Kampung Air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 8:00 AM