Tuan Asri Tuan Hussein


PENGGUNAAN rempah'pre-mix' atau pra-campuran menjadi rahsia setiap pek makanan yang diagihkan kepada 30,200 jemaah haji Malaysia pada musim haji. tahun ini, kekal menepati cita rasa Malaysia.

Rempah pre-mix adalah perencah segera hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) unit operasi katering Tabung Haji (TH) sejak tiga tahun lalu dan dibuat oleh beberapa syarikat di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Pengarah Operasi Katering TH, Adly Mohamed berkata, pihaknya mula menggunakan rempah pre-mix untuk penyediaan makanan jemaah haji Malaysia di Makkah dan Madinah sejak tahun lalu dan diperluaskan lagi tahun ini.

“Ini tahun kedua kita gunakan rempah pre-mix dalam semua masakan kita. Sebelum guna pre-mix kita kena goreng bawang, sediakan bunga cengkih dan sebagainya, tapi sekarang hanya campurkan rempah pre-mix dengan air.

“Macam masak mi segera tapi masih mengekalkan cita rasa Malaysia," katanya ketika memberi taklimat kepada wartawan Malaysia yang melawat Makkah Kitchen, satu daripada lapan 'dapur' atau syarikat penyedia makanan untuk jemaah Malaysia di Makkah.

Adly berkata, dengan penggunaan pre-mix, proses memasak dapat dipendekkan dan ini amat penting kerana tempoh memasak lebih singkat dapat mengurangkan pendedahan kepada pencemaran.

Menurutnya, satu lagi usaha bagi memenuhi selera dan memberi kepuasan kepada jemaah haji, pihaknya turut membawa 24 tukang masak berpengalaman dari tanah air.

"Di Madinah, kita ada lima dapur (syarikat katering) yang menyediakan juadah untuk lapan bangunan penginapan jemaah, manakala di Makkah kita ada lapan dapur untuk 18 bangunan penginapan," katanya.

Adly berkata terdapat 28 menu berbeza untuk hidangan makan tengah hari dan malam kepada jemaah haji di Makkah dan 14 menu di Madinah yang disajikan secara bergilir-gilir.

Menurutnya, aspek keselamatan makanan tetap menjadi keutamaan dan Unit Khidmat Luar TH bersama Unit Kesihatan Awam rombongan perubatan bertanggungjawab memantau serta membuat pemeriksaan bagi memastikan setiap prosedur dipatuhi.

Sebagai contoh, katanya, pada penutup bekas makanan, tertera peringatan "baik untuk di makan dalam tempoh dua jam selepas diedarkan."

“Jemaah dinasihatkan mematuhi peringatan itu kerana ia penting untuk memastikan kualiti makanan itu tidak tercemar dan mengelakkan berlakunya keracunan makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 2:08 PM
PETUGAS Makkah Kitchen menyediakan pek makanan untuk diedarkan kepada jemaah haji Malaysia di Makkah. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
PETUGAS Makkah Kitchen menyediakan pek makanan untuk diedarkan kepada jemaah haji Malaysia di Makkah. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein