Petugas katering menyediakan makanan untuk diagihkan kepada jemaah Tabung Haji.
Petugas katering menyediakan makanan untuk diagihkan kepada jemaah Tabung Haji.

Madinah: Bagi memastikan jemaah haji menikmati makanan bercitarasa Malaysia, enak dan berkhasiat, Lembaga Tabung Haji (TH) mendapatkan khidmat nasihat daripada pelbagai pihak termasuk pakar pemakanan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Operasi Katering musim haji 2016 Adli Mohamed berkata, pihak berkenaan akan memberi panduan mengenai sesuatu menu seperti tidak boleh terlalu pedas serta masin dan sebagainya.

“Ini memang menjadi keutamaan TH yang mana menu jemaah kita bukan saja bercita rasa Malaysia tetapi berkhasiat serta diiktiraf kementerian berkaitan.

“Jemaah akan menikmati menu berbeza setiap hari iaitu yang mana kitaran menunya setiap lapan hari ketika berada di sini dan dua minggu di Makkah.

“Warna makanan juga diberikan perhatian bagi memastikan selera makan jemaah berada dalam keadaan baik,” katanya.

Adli berkata, pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi juga akan mengadakan lawatan ke dapur bagi memastikan TH mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.

Perkhidmatan katering kepada jemaah diuruskan syarikat TH Global Services Sdn Bhd iaitu anak syarikat TH.

Jemaah diberi makan dua kali sehari iaitu tengah hari dan malam.

Adli berkata, seramai 62 petugas terbabit dalam operasi katering musim haji tahun ini termasuk 32 cef yang didatangkan dari Malaysia.

Katanya, antara menu yang disediakan untuk jemaah ialah kari ayam, asam pedas ikan, sotong masak kicap, daging kurma, ayam masak lemak kuning, daging kicap berempah dan rendang.

“Bagi memastikan makanan untuk jemaah kita memiliki cita rasa Malaysia ada bahan yang dibawa dari Malaysia seperti serai kerana rasanya berbeza dengan serai tempatan.

“Daun limau purut juga sangat mahal di sini iaitu mencecah sehingga SR90 (kira-kira RM100) untuk satu beg plastik kecil,” katanya.

Menurut Adli, bagi jemaah yang memerlukan diet khas atas faktor kesihatan atau masalah kesihatan mereka perlu mengemukakan surat daripada pegawai perubatan TH untuk tindakan pihak katering.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 9:28 AM