Sharifah Mahsinah Abdullah

“SAYA tidak tahupun yang isteri muda saya sudah berada di Thailand. Baru minggu lalu, saya pindahkan dia bersama ibu bapanya ke kawasan pedalaman," kata peraih getah berusia 41 tahun.

Dia yang mencetuskan kontroversi selepas menikahi kanak-kanak berusia 11 tahun itu berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan tentang laporan akhbar mengenai `kepulangan' isteri ketiganya itu ke negara asal.

Katanya, hingga ke hari ini, dia tidak dapat menghubungi isterinya selepas memindahkan kanak-kanak itu bersama ibu bapanya di kebun getah di Gua Musang.

“Kali terakhir, saya berjumpa dengannya pada minggu lalu selepas menghantar mereka ke sebuah rumah di pedalaman dan sejak itu, saya tidak dapat menghubungi dia mungkin kerana liputan telefon agak sukar di sana.

“Setahu saya, isteri saya dan keluarganya pulang ke Thailand seminggu sebelum saya memindahkan mereka untuk memperbaharui dokumen perjalanan mereka yang sudah tamat tempoh.

“Bagaimanapun, jika betul isteri saya berada di sana (Thailand), saya reda dan menerima `pemergiannya' itu kerana mungkin jalan terbaik buatnya dan juga untuk keselamatan dirinya,” katanya ketika dihubungi NSTP ,hari ini.

Dia berharap pihak di Thailand akan menjaga isterinya dengan baik.

“Jika difikirkan, elok juga isteri saya berada di situ (Thailand) kerana dia dapat belajar apa-apa yang perlu berbanding di sini kerana dia pernah dihina menyebabkan saya terpaksa memindahkan dia.

“Dia juga akan terbiar di sini dan tidak dapat mengisi masa dengan perkara yang berfaedah. Jabatan Kebajikan Negeri Kelantan (JKM) juga tidak dapat membantunya kerana dia adalah warga asing," kata peraih getah itu.

Akhbar NSTP sebelum ini melaporkan peraih getah itu terpaksa membawa isteri ketiga, ibu bapa mentuanya ke pedalaman akibat tidak tahan disindir masyarakat.

Laporan media hari ini melaporkan kanak-kanak itu sudah kembali ke negara asalnya.

Gabenor wilayah Narathiwat, Suraporn Prommool berkata, kanak-kanak itu dipercayai pulang ke Thailand pada Rabu lalu, selepas menerima `tekanan hebat daripada media Malaysia'.

Dia kini dilaporkan menjalani kaunseling akibat tertekan dengan perhatian diberikan terhadap kesnya.

Bagaimanapun, menurut Suraporn, perkahwinan kanak-kanak itu tidak diiktiraf mengikut undang-undang sivil Thailand, yang majoriti penduduknya penganut Buddha.

Berita berkaitan

Pengantin cilik kini tinggal di hutan

[UPDATE] Suami pengantin cilik didenda

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 5:22 PM