Rafidah Mat Ruzki


KEMATIAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Grand Saga tengah malam tadi, disifatkan sebagai kehilangan Besar buat Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, ia juga pasti dirasai penduduk di kawasan diwakili ADUN yang mesra dikenali sebagai Eddie Ng itu serta rakyat Selangor.

Katanya, pemergian ADUN Balakong itu yang kedua di Selangor selepas tidak sampai sebulan kematian wakil rakyat Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu.

"Saya menyatakan rasa dukacita atas pemergian Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Balakong, Yang Berhormat Eddie Ng Tien Chee.

"Beliau dikhabarkan terbabit dalam kemalangan maut pada awal pagi semalam. Ng Tien Chee, atau lebih dikenali sebagai Eddie Ng, ADUN yang berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk penduduk Balakong serta komited mewakili suara mereka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai ADUN bermula tahun 2013.

"Dari awal saya mengenali mendiang, saudara Eddie tidak lekang dengan senyuman dan sentiasa sedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan," katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Amirudin berkata, Eddie Ng juga adalah seorang ahli politik yang bergiat aktif dalam PH Selangor menerusi Unit Tindak Parti Tindakan Demokratik (DAP).

"Kehilangan ini yang kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan selepas pemergian ADUN Sungai Kandis, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafie pada 2 Julai lalu. Kedua-dua Ahli Dewan Negeri ini telah banyak memberi khidmat kepada rakyat dan negeri.

"Saya mengucapkan takziah kepada isteri, anak-anak dan keluarga mendiang saudara Eddie dan berharap mereka tabah menghadapi ujian ini," katanya.

Dalam kejadian 12.40 tengah malam tadi, Eddie Ng yang dikatakan dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur menuju ke Kajang, dipercayai terlanggar lori syarikat konsesi yang sedang membuat kerja penyelenggaraan di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga.

Akibat pelanggaran itu, Eddie Ng yang memandu kereta Nissan Xtrail, meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Serdang.

Berita berkaitan

ADUN Balakong maut kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 11:18 AM