RUMAH dua tingkat separa kayu dan batu yang musnah 90 peratus dalam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba
RUMAH dua tingkat separa kayu dan batu yang musnah 90 peratus dalam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


SEORANG lelaki melecur di bahagian kaki ketika cuba menyelamatkan diri selepas rumahnya di Kampung Telok Bagan di Alor Setar, musnah dalam kebakaran malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, mangsa berusia 59 tahun dikatakan sempat keluar dari rumah itu bersama keluarganya ketika api sedang marak.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Firdaus Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat separa kayu dan batu di lokasi kejadian, jam 11.26 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya dari BBP Jalan Raja tiba di lokasi jam 11.33 malam bersama sebuah jentera dengan tujuh anggota dan turut dibantu lima anggota dan sebuah Jentera dari BBP Alor Setar.

“Api berjaya dikawal jam 11.45 malam dan operasi turut dibantu tiga Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Simpang Empat, Jalan Kundur dan Taman Mutiara.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran ini cuma seorang lelaki melecur sedikit di bahagian kaki dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dengan menaiki Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk menerima rawatan,” katanya.

Firdaus berkata, kebakaran membabitkan kemusnahan 90 peratus dan setakat ini punca serta kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 12:06 PM