AHMAD (dua kiri) bersama Mohd Amar (dua kanan) dan Dr Izani (kiri) menyampaikan watikah perlantikan kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Bachok (MDB) Nik Mohamed Noor Nik Ishak (kanan) pada majlis penyampaian Watikah Perlantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini. FOTO Syamsi Suhaimi
AHMAD (dua kiri) bersama Mohd Amar (dua kanan) dan Dr Izani (kiri) menyampaikan watikah perlantikan kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Bachok (MDB) Nik Mohamed Noor Nik Ishak (kanan) pada majlis penyampaian Watikah Perlantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali


PAS Kelantan berharap Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU355) dapat dibentangkan pada sidang Parlimen yang bermula hari ini.

Pesuruhjayanya Datuk Ahmad Yakob berkata, setakat ini RUU355 berada di peringkat speaker dan menunggu masa untuk dibentangkan.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, terpulang kepada Kerajaan Persekutuan untuk memberi ruang kepada pembentangan rang undang-undang berkenaan.

“Setakat ini, kita (RUU355) berada di peringkat speaker yang akan mengemukakan RUU355 untuk dibahaskan selepas dicadangkan oleh Ahli Parlimen Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan disokong oleh Ahli Parlimen Kota Bharu (Datuk Takiyuddin Hassan).

“Terpulang kepada pentadbiran dan Kerajaan Pusat untuk memberi ruang pembentangan memandangkan sidang Parlimen bermula hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media di majlis penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) Kelantan kepada 250 ahli majlis di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin.

Ahmad berkata, pembentangan itu penting untuk menaik taraf Mahkamah Syariah.

Pada perkembangan lain, katanya, bantuan kewangan oleh Kerajaan Pusat kepada PBT sudah termaktub dalam perlembagaan.

“PBT menagih hak yang ditetapkan daripada pentadbiran Kerajaan Pusat dan pada masa sama kerajaan negeri juga memberi beberapa insentif kepada mereka.

“Kita juga mencadangkan PBT di negeri ini supaya berdikari dengan melaksanakan program,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 6:32 PM