Datuk Seri Abdul Hadi Awang. FOTO arkib NSTP
Datuk Seri Abdul Hadi Awang. FOTO arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: PAS sedia menghadapi rintangan dan halangan dalam membentangkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 kerana ia adalah kewajipan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mendakwa pihaknya tahu siapa yang cuba menghalang pembentangan itu menjadi kenyataan.

"Kita (PAS) akan menghadapi apa jua halangan dan kita kenal siapa yang menghalang itu," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, PAS tetap teguh dengan pendirian membawa RUU 355 ke Parlimen pada sidang ini selepas kerajaan memutuskan tidak membentangkannya.

Katanya, parti itu tidak terkesan dengan keputusan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebaliknya melihat ia sebagai satu persetujuan untuk PAS membentangkannya sendiri.

"Bagaimanapun, keputusan membentang dan membahaskan RUU355 yang dibawanya adalah hak mutlak Speaker Dewan Rakyat.

"Mengikut Perintah Tetap Parlimen, RUU355 ini boleh dibentang dan dibahaskan selepas urusan kerajaan namun kerajaan boleh beri peluang untuk ia dibentangkan pada bila-bila masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 2:36 PM