AHMAD Marzuk ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Kutipan Dana Van Pasti selepas Majlis Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan Pengkalan Chepa kali ke-42 di Dewan Pak Lah Kompleks Purnama, Pengkalan Chepa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
AHMAD Marzuk ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Kutipan Dana Van Pasti selepas Majlis Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan Pengkalan Chepa kali ke-42 di Dewan Pak Lah Kompleks Purnama, Pengkalan Chepa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


PEMBENTANGAN kali kedua Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, atau RUU 355, perlu mengikut tertib tertentu jika dibawa oleh kerajaan, berbeza dengan pembangkang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaari berkata, banyak prosedur perlu dilakukan sebelum membentangkannya di Parlimen.

"Antaranya mengadakan perbincangan dengan semua negeri, sebelum akan dibawa ke Muzakarah Kebangsaan Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Proses seterusnya adalah mengangkat perkara berkenaan kepada Majlis Raja-Raja selaku ketua agama negeri dan bagi negeri yang tiada Raja akan dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong sebelum ke proses terakhir pembentangan di Parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat Dewan Pemuda Pas Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, proses berkenaan semestinya mengambil masa agak lama dan tidak boleh dilakukan dalam tempoh tiga bulan selepas Pas menjadi parti kerajaan.

"Pas sudah berusaha membawa RUU 355 sejak menjadi pembangkang dan kita berjaya meyakinkan kerajaan ketika itu yang memberi laluan supaya dibentangkan RUU ini.

"Namun selepas bertukar kerajaan kepada Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, saya membuat semakan tiada usaha langsung dilakukan mereka sebagaimana prosedur yang perlu dilakukan untuk membentangkan RUU 355 buat kali kedua.

"Bila kita mengambil alih tiga bulan, terus mereka bertanya di mana RUU 355, sedangkan sepatutnya mereka tanya apa yang mereka buat selama 22 bulan untuk membolehkan RUU itu dibentangkan," katanya.

Ahmad Marzuk berkata, disebabkan tiada usaha daripada kerajaan terdahulu, pihaknya perlu memulakan usaha itu bermula dari bawah dan akan pastikan perkara itu berjaya.

"Sukar atau tidak untuk melalui proses berkenaan, terpulang kepada parti komponen. Kita jangkakan ia dapat diterima memandangkan RUU 355 sudah lama tidak disemak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 6:16 PM