MOHD Amar Nik Abdullah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Amar Nik Abdullah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Ismail Muhamad


Kota Bharu: Kelantan menyifatkan pembentangan rang undang-undang (RUU) persendirian Akta 355 di Parlimen hari ini sebagai permulaan baik untuk pelaksanaan syariat Islam di Malaysia.

Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, RUU itu juga akan menjadi 'tangkal' semangat kepada perjuangan kerajaan negeri dan parti dalam melaksanakan hukum hudud.

"Sudah berapa lama kita usahakan (berjuang untuk laksana hudud) ini. Bukan kerana nak pilihan raya kecil (PRK) ia dibentangkan hari ini.

"Kalau tak ada pilihan raya pun, kita akan usahakan juga supaya ia dapat dibentangkan dan Alhamdulillah ini permulaan yang baik sekali untuk pelaksanaan syariat Islam di Malaysia.

"Pakat doa lah (mari berdoa untuk kejayaannya bersama-sama)," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2015 Peringkat Negeri di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan semula RUU itu di Dewan Rakyat, petang ini bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 3:57 PM