MAHAMAD Naser
MAHAMAD Naser
Muhaamad Hafis Nawawi


Jitra: Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) berpandangan isu Pindaan Rang Undang-Undang 355 (RUU355) perlu diambil alih kerajaan untuk dibentangkan semula pada Mac depan dalam usaha memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah berbanding dibawa secara persendirian oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Pegawai Eksekutif IKSIM, Prof Datuk Mahamad Naser Disa berkata, isu pindaan RUU355 adalah isu negara dan menjadi kewajipan kerajaan untuk membawanya ke Parlimen untuk dibentangkan semula sebelum diluluskan.

Menurutnya, IKSIM berpandangan jika dibawa secara bersendirian oleh Abdul Hadi, ia akan melalui proses yang panjang berbanding jika usul itu dibawa kerajaan.

“Jika kerajaan mengambil alih dan membawanya ke Parlimen Mac depan, prosesnya akan lebih mudah iaitu akan didebat sekali sebelum Ahli Parlimen mengundi dan jika diluluskan, ia akan dapat dilaksanakan.

“Bagaimanapun jika dibawa secara persendirian oleh Abdul Hadi, ia mungkin susah dan melalui proses panjang kerana sentimen kepartian terutama untuk mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak yang bukan Islam.

“Namun jika kerajaan yang membawa usul pindaan ini, mungkin ia akan berubah dari segi sokongan ketika pengundian,” katanya ketika ditemui selepas Forum Penerangan RUU355, di sini, semalam.

Forum itu dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 9:38 AM