ABDUL Halim. FOTO Facebook Abdul Halim Said
ABDUL Halim. FOTO Facebook Abdul Halim Said
Hidayatul Akmal Ahmad


WARTAWAN meja berita The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Biro Johor, Abdul Halim Said, 37, meninggal dunia di Hospital Ampang akibat jangkitan kuman pada paru-paru, kira-kira jam 2.40 petang, hari ini.

Kakaknya, Faridah Alias, 42, ketika dihubungi berkata, adiknya dimasukkan ke hospital itu pada minggu lalu selepas mengadu sakit perut akibat gastrik.

“Ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini dia (Halim) ada hubungi saya dan menyatakan hasrat mahu beraya di kampung di Beranang, Selangor, namun disebabkan sakit perut keterlaluan dia membatalkan hasrat itu dan hanya beraya di rumah keluarga angkat di Selayang.

“Saya tidak mengesyaki dia mempunyai sakit kronik lain sehingga dapat berita dia dimasukkan ke hospital. Ketika menziarahinya, Halim dalam keadaan sangat lemah dan tidak dapat memberi tindak balas.

“Halim seorang yang ceria dan tidak pernah menunjukkan sebarang tanda mempunyai penyakit. Cuma kebelakangan ini, dia tiada selera makan dan berat badannya turun mendadak,” katanya.

Halim atau dikenali sebagai adik dalam kalangan keluarga belum berumahtangga dan dijaga oleh keluarga angkat sejak lahir.

Jenazah akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kepong, Beranang, malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 6:30 PM