GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran rentas sempadan yang bergiat aktif di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, sindiket berkenaan ditumpaskan menerusi Operasi Khas pada 3.30 petang semalam.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat risikan dan intipan selama sebulan bagi menjejak rangkaian sindiket terbabit sebelum berjaya memberkas mereka dalam operasi khas berkenaan.

“Semasa operasi dijalankan, pasukan serbuan menangkap dua lelaki warganegara Myanmar dan seorang daripadanya adalah dalang utama yang merancang menguruskan ketibaan dan kemasukan migran yang tiba ke negara ini dengan menggunakan penerbangan dari Yangon, Myanmar.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terbabit adalah pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan pernah mempunyai rekod kesalahan imigresen sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mustafar berkata, modus operandi kemasukan migran berkenaan diatur oleh sindiket yang berada di Myanmar serta di negara ini dengan bayaran antara RM3,000 hingga RM4,000 untuk seorang bergantung kepada status dokumen sama ada disenarai hitam oleh imigresen atau memiliki visa palsu.

“Pasukan operasi melakukan pemerhatian sepanjang ketibaan migran sebelum mengekori kenderaan dinaiki suspek.

“Jabatan Imigresen berjaya memintas kenderaan yang dinaiki migran di depan sebuah pasar raya di Balakong, Selangor.

“Kita mendapati sindiket ini menggunakan perkhidmatan Grab atau kereta sewa haram supaya pergerakan mereka tidak dapat dikesan oleh anggota penguat kuasa,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati migran terbabit diuruskan oleh suspek yang juga bertindak sebagai ejen dikenali sebagai 'Muhammed'.

Katanya, sindiket berkenaan bergiat aktif antara lima hingga 10 tahun lalu.

“Semua migran yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959-1963, manakala dua suspek yang ditahan pula disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 11:46 PM