Mohd Azam Shah Yaacob


SINDIKET penyeludupan migran yang aktif menyeludup masuk warga Myanmar ke negara ini sejak April lalu tumpas selepas polis menahan 77 individu termasuk ketuanya.

Sindiket itu yang aktif menyeludup migran melalui Sungai Golok, Kelantan itu ditahan dalam operasi khas Cawangan Khas Bukit Aman Ahad lalu hingga semalam.

Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Cheong Koon Kock berkata, mereka yang ditahan itu membabitkan enam warga tempatan iaitu seorang bertindak sebagai ketua manakala lima lagi sebagai ejen menguruskan perjalanan kemasukan serta penempatan migran.

Katanya, 71 lagi yang ditahan adalah warga Myanmar yang mana 66 adalah migran manakala lima lagi bekerja sebagai ejen dengan sindiket berkenaan.

“Operasi khas empat hari Cawangan Khas Bukit Aman itu dilakukan di beberapa lokasi iaitu Lembah Klang, Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Sindiket ini aktif menyeludup masuk migran warga Myanmar yang ditempatkan bekerja dalam sektor perladangan,” katanya pada sidang media yang dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Koon Kock berkata, sindiket sama juga dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di negara ini.

Katanya, lelaki warga tempatan yang ditembak mati polis di Jalan Bandar 10, Puchong Selasa lalu juga dikenal pasti ahli sindiket berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati suspek yang maut ditembak ketika cuba merempuh pegawai polis itu adalah salah seorang ejen sindiket berkenaan.

“Ketika kejadian, suspek yang memandu Perodua Alza turut membawa lapan migran warga Myanmar dalam kenderaan itu,” katanya.

Koon Kock berkata, semua ahli sindiket itu ditahan dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala migran warga Myanmar pula ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 12:04 PM