Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. FOTO Arkib NSTP
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (Mindef) bercadang mendapatkan empat helikopter berkeupayaan peperangan bawah permukaan atau anti submarine warfare (ASW) bagi menggantikan aset Super Lynx semasa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dokumen strategi Program Transformasi Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 15 to 5 sudah menyenaraikan rancangan perolehan itu dalam Rancangan Malaysia ke-13.

Menurutnya, ia bagi penggantian helikopter yang sudah berusia lebih 20 tahun.

"Pada masa yang sama, TLDM turut mengusahakan perolehan helikopter operasi maritim (HOM) AW139 bagi melengkapkan Skuadron 503 tersebut dengan lapan helikopter.

"Perancangan penggantian helikopter TLDM adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk memelihara kedaulatan dan keselamatan perairan Malaysia di kedua-dua wilayah," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mengenai perancangan kementerian bagi penggantian helikopter yang sudah berusia lebih 20 tahun.

Nordin turut bertanyakan impak kepada kesiapsiagaan Cawangan Udara TLDM termasuk ketersediaan anggota ekoran insiden nahas membabitkan dua helikopter milik TLDM sebelum ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Mohamed Khaled menyatakan Kementerian Pertahanan khususnya TLDM sentiasa mengambil serius terhadap tahap kesiagaan aset TLDM dan pembangunan sumber manusianya.

"Berkait dengan nahas pesawat helikopter TLDM yang telah berlaku, TLDM akan menangani perkara ini sebaik mungkin berdasarkan sumber sedia ada.

"Dari segi ketersediaan anggota dalam melaksanakan tugas, pihak TLDM akan meneruskan pembangunan modal insan yang kompeten bagi memenuhi keperluan operasi untuk masa kini serta masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 9:13 AM