PELAKSANAAN penyasaran subsidi beri penjimatan perbelanjaan mengurus RM4 bilion setahun.
PELAKSANAAN penyasaran subsidi beri penjimatan perbelanjaan mengurus RM4 bilion setahun.

Kuala Lumpur: Kerajaan masih menanggung keperluan subsidi diesel sebanyak RM10 bilion setahun, walaupun selepas merasionalisasikan subsidi bahan api dan pelaksanaan subsidi bahan api bersasar.

Kementerian Kewangan berkata, jumlah subsidi itu termasuk RM4 bilion setahun bagi pengguna yang masih kekal menikmati harga diesel yang rendah, iaitu pada kadar RM1.88 seliter kepada 10 jenis kegunaan kenderaan di bawah sektor pengangkutan awam dan RM2.15 seliter kepada 23 jenis kegunaan kenderaan diesel sektor logistik.

Di samping itu RM3.3 bilion bagi pengguna diesel di Sabah dan Sarawak yang masih kekal menikmati harga diesel RM2.15 seliter; RM1.2 bilion subsidi diesel nelayan A, B dan C dan RM1.8 bilion bantuan tunai yang diberikan menerusi BUDI Individu dan Budi Agri-Komoditi.

"Ini bermakna, kerajaan masih menampung RM10 bilion subsidi diesel setahun berbanding RM14 bilion pada 2023 dan pelaksanaan penyasaran subsidi ini memberikan penjimatan perbelanjaan mengurus sebanyak RM4 bilion setahun," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Kementerian Kewangan menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah hasil penjimatan yang dijangka akan diterima oleh kerajaan selepas merasionalisasikan subsidi bahan api dan pelaksanaan subsidi bahan api bersasar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 8:49 AM