ZAWAWI (tengah) diiringi Mustafa (kiri sekali), Iqbal (dua dari kiri), Zuhair (dua dari kanan) dan Hamid (kanan sekali) menunjukkan gambar suspek yang aktif membawa masuk etnik Rohingya. FOTO Hamzah Osman
ZAWAWI (tengah) diiringi Mustafa (kiri sekali), Iqbal (dua dari kiri), Zuhair (dua dari kanan) dan Hamid (kanan sekali) menunjukkan gambar suspek yang aktif membawa masuk etnik Rohingya. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


BAYAR RM25,000 kepada anggota pihak berkuasa Malaysia supaya 'pejam mata' dengan kemasukan bot etnik Rohingya ke perairan negara.

Begitu kegiatan licik dua lelaki warga Myanmar yang juga tekong darat sebelum mereka ditahan dalam serbuan Ops Benteng di sebuah restoran di Padang Matsirat, Langkawi, Selasa lalu.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berusia 29 dan 35 tahun itu aktif menyeludup masuk etnik Rohingya ke pulau Langkawi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah/Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, dua lelaki itu ditahan pada 3 pagi ketika cuba merasuah pegawai penguat kuasa APMM sebanyak RM25,000.

"Sogokan itu supaya pihak berkuasa memberi laluan untuk siri kemasukan migran menerusi jalan laut pada masa hadapan.

"Siasatan juga mendapati kedua-dua suspek terbabit menguruskan kemasukan 269 etnik Rohingya ke Langkawi pada 8 Jun lalu," katanya pada sidang media di Pejabat APMM Langkawi, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim dan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah Zuhair Jamaludin.

Hadir sama, Panglima Markas Wilayah Laut 3, Laksamana Pertama Maritim Abd Hamid Ali dan Timbalan Pengarah Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mustafa Kamal Ahmad.

Mohd Zawawi berkata, dua lelaki pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) itu ditahan anggota SPRM selepas menerima maklumat.

"Sejam selepas tangkapan dua lelaki itu, seramai 34 individu terdiri warga Thailand dan Myanmar turut ditahan di sebuah rumah di Kampung Kuala Teriang, Langkawi.

"Kedua-dua suspek disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan Akta SPRM 2009," katanya.

Katanya, manakala 34 warga asing yang ditahan disiasat di bawah Akta ATIPSOM 2007 (Akta 670) dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 6:49 PM