Mustafar melawat kaunter VOA dan Joint Ship di KLIA. Turut  kelihatan Pengurus Besar Kanan MAHB, Zainal Mat Isa (kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mustafar melawat kaunter VOA dan Joint Ship di KLIA. Turut kelihatan Pengurus Besar Kanan MAHB, Zainal Mat Isa (kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor

my

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menaik taraf kaunter visa ketibaan (VOA) dan Joint Ship (permohonan visa kelasi kapal dagang) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang bagi meningkatkan kelancaran proses keluar masuk pelancong dan warga asing di pintu masuk udara negara.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, langkah menaik taraf kaunter VOA dijangka memudahkan urusan kemasukan warga China dan India yang tiba dari Singapura, Thailand dan Indonesia.

"Kemudahan kaunter Joint Ship pula diberikan kepada anak kapal atau kelasi warga asing yang masuk melalui negara ini untuk menaiki kapal yang berlabuh di pelabuhan negara seperti Pelabuhan Klang dan Pasir Gudang, Johor.

"Anak kapal atau kelasi warga asing yang berkenaan perlu menunjukkan buku 'seaman' sebagai pelayar dan surat makluman daripada ejen perkapalan yang mengesahkan kapal bakal dinaiki mereka berlabuh di mana-mana pelabuhan di Malaysia," katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Penjenamaan Semula Kaunter VOA dan Joint Ship di Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mustafar berkata, beliau akan bertemu dengan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad berhubung siasatan pegawai kanan dan pegawai penguat kuasa Imigresen Padang Besar yang ditahan baru-baru ini kerana disyaki terbabit sindiket pemalsuan permohonan Pegawai Dagang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 2:52 PM