PADA usia 10 tahun Armin tidak kekok mengemudi bot ke sekolah sambil dipantau bapanya. Gambar kanan, Aida Izabellaa diajar mengendalikan bot yang digunakan sebagai pengangkutan untuk keluarga yang tinggal dekat Kampung Salang, Tioman. FOTO Ihsan Jamaludin Musa
PADA usia 10 tahun Armin tidak kekok mengemudi bot ke sekolah sambil dipantau bapanya. Gambar kanan, Aida Izabellaa diajar mengendalikan bot yang digunakan sebagai pengangkutan untuk keluarga yang tinggal dekat Kampung Salang, Tioman. FOTO Ihsan Jamaludin Musa
Noor Hidayah Tanzizi

Rompin: Baru berusia 10 tahun, namun kecekapan Armin Jamaludin mengemudi bot memukau netizen di TikTok yang mengagumi kemampuan kanak-kanak lelaki itu.

Video kanak-kanak kacukan Melayu dan Hungary yang menetap di Kampung Salang, Pulau Tioman yang tidak kekok mengemudi bot milik bapanya, Jamaludin Musa, 40, sambil memakai seragam sekolah mendapat perhatian netizen.

Berkongsi cerita, Jamaludin berkata, video itu dirakam ketika dia dalam perjalanan menghantar Armin dan seorang lagi anak perempuannya, Aida Izabella, 7, ke sekolah, baru-baru ini.

Menurutnya, sebagai anak pulau, bot menjadi pengangkutan utama mereka termasuk ke sekolah kerana kampungnya tiada jalan darat yang bersesuaian menghubungkan ke sekolah.

"Video itu memang anak kemudi bot sambil dipantau saya yang turut ada bersama anak perempuan. Setiap hari dari rumah kami guna motosikal ke jeti dan kemudian kemudi bot sebelum hantar mereka dengan motosikal untuk ke sekolah.

"Kampung kami dan dua kampung lain memang perlu menggunakan bot untuk ke sekolah. Jalan darat memang tiada melainkan boleh jalan kaki, tetapi meredah hutan selama empat jam," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

JAMALUDIN bersama isteri dan dua anaknya. FOTO Ihsan Jamaludin Musa
JAMALUDIN bersama isteri dan dua anaknya. FOTO Ihsan Jamaludin Musa

Katanya, meskipun pihak berkenaan menyediakan asrama untuk murid dan pelajar dari Pulau Tioman, namun dia serta isteri, Rozalia Bodi, 42, yang berasal dari Budapest, Hungary lebih memilih dua anak mereka tinggal bersama supaya boleh memantau pelajaran dan aktiviti mereka.

"Kebanyakan anak di sini, tinggal di asrama, tetapi isteri mahu anak tetap bersama kami di rumah. Biarpun kos ulang-alik dengan bot agak mahal, tetapi ini pengorbanan kami untuk anak.

"Perjalanan dengan bot ambil masa 10 minit saja jika cuaca baik, tetapi kalau kurang baik kira-kira 30 minit. Apabila cuaca kurang baik saya akan menggunakan bot lebih besar," katanya yang juga penyelam skuba dan mengajar kemahiran itu.

Menurut Jamaludin, dia berkongsi video anaknya hanya untuk suka-suka, sekali gus ia boleh menunjukkan kehidupan anak pulau dan mengakui mahu anak mempunyai ilmu laut.

"Saya ajar anak bawa bot sudah lama, cuma baru-baru ini saja dia kemudi, tetapi saya memang sentiasa ada bersama untuk memantau. Anak juga aktif bersukan di sekolah termasuk sukan air.

"Sebagai bapa, saya mahu anak mempunyai kerjaya lain, tetapi sebagai anak pulau juga saya mahu dia mempunyai ilmu kelautan seperti tahu mengemudi bot," katanya sambil memberitahu anak bersekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Tekek, Pulau Tioman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 7:01 AM