TUAN Ibrahim Tuan Man. FOTO arkib NSTP
TUAN Ibrahim Tuan Man. FOTO arkib NSTP
Nadia Hamid


PAS tidak berminat menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat yang dijanjikan bakal menerima status dan peruntukan seperti Menteri Persekutuan.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS akan memberi laluan kepada parti pembangkang yang memenangi lebih banyak kerusi Parlimen untuk menyandang jawatan itu.

“Pandangan (PAS), lebih elok (sekiranya) kerajaan yang dipilih rakyat meneruskan kepemimpinan. PAS tidak berminat menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

“UMNO memenangi lebih banyak kerusi dengan perbezaan jumlah yang besar berbanding PAS,” katanya ketika dihubungi.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, UMNO lebih layak menyandang jawatan Ketua Pembangkang walaupun PAS lebih berpengalaman sebagai pembangkang di Parlimen.

Ditanya mengenai kemungkinan bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam masa terdekat bagi membincangkan suatu formula bersama sebagai pembangkang, katanya, PAS bersetuju dengan syor itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pertemuan itu bukan petanda akan wujud kerjasama politik antara UMNO dengan PAS, sebaliknya satu bentuk penyelarasan untuk memilih Ketua Pembangkang.

“Insya-Allah, kita terbuka untuk berjumpa mana-mana pihak (UMNO) bagi membincangkan isu membabitkan kepentingan rakyat dan negara.

“Pertemuan dengan Ahmad Zahid nanti bukan suatu kerjasama parti politik tetapi penyelarasan untuk menentukan calon Ketua Pembangkang,” katanya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, PAS akan meneruskan tradisinya sebagai pembangkang yang efektif di Parlimen.

“PAS sudah biasa (sebagai pembangkang) di Parlimen dan akan meneruskan tugas seperti sebelum ini. Namun, ini adalah kali pertama UMNO menjadi pembangkang, (mungkin) ada rasa janggal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 12:08 AM