Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pas konsisten menyeru pemimpin dan rakyat meletakkan fokus utama negara untuk menguruskan pandemik Covid-19 ketika ini, kata Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, tumpuan sepenuhnya mesti diberikan bagi menjaga nyawa dan kelangsungan hidup rakyat, bahkan wajib tolong-menolong tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa.

"Pas juga menyeru rakyat keseluruhannya mesti bersama-sama mendukung Pelan Pemulihan Negara yang sedang dilaksanakan kerajaan.

"Semoga Allah SWT memberi tautan hati dan tindakan buat seluruh pemimpin, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, seterusnya mengangkat wabak COVID-19 dari negara kita," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pas turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn sebagai Menteri Kanan yang mengetuai Kluster Keselamatan dan mengekalkan portfolio sebagai Menteri Luar.

Tuan Ibrahim berharap pelantikan itu dapat mengukuhkan lagi perpaduan antara parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Perkembangan mutakhir politik negara menyaksikan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal pagi ini mengumumkan parti itu menarik balik sokongannya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta-merta atas alasan kerajaan gagal dalam tugasnya termasuk menangani wabak Covid-19. – Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 3:08 PM