KEADAAN kereta mangsa yang terbalik selepas kemalangan. Gambar kanan, kereta dipandu lelaki yang melarikan diri.
KEADAAN kereta mangsa yang terbalik selepas kemalangan. Gambar kanan, kereta dipandu lelaki yang melarikan diri.
Amrullah Abdul Karim

Kuala Kubu Bharu: Bimbang ditahan kerana dipercayai memandu kereta klon, seorang lelaki melarikan diri selepas terlanggar sebuah Perodua Viva yang terbabas di lorong tengah di Kilometer 413.1 Lebuhraya PLUS arah Kuala Lumpur dekat Lembah Beringin di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, lima sekeluarga yang menaiki Perodua Viva terbabit cedera termasuk seorang melecur di paha apabila terkena tumpahan petrol selepas kereta berkenaan terbalik.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bak Phai berkata, ketika kejadian Perodua Viva dipandu Mohd Noor Kusairi Bahauddin, 55, dikatakan dalam perjalanan dari Kampung Gesir Hulu, Sungai Selisek, di sini menghala Kuala Lumpur sebelum hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di lokasi.

Katanya, pada masa sama sebuah kereta Toyota Mark X dipandu seorang lelaki yang datang dari arah belakang melanggar bahagian belakang kenderaan itu.

“Dalam kemalangan ini, pemandu Toyota Mark X meninggalkan kenderaannya dan melarikan diri. Pemeriksaan mendapati nombor enjin kenderaan itu sudah diusik dan disyaki kereta klon dari Singapura.

“Polis berusaha mengesan pemilik kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan penumpang belakang Perodua Viva, Noor Fisha Nadia Mohd Noor Kusairi, 19, melecur di paha akibat terkena tumpahan petrol dan adiknya, Noor Frilisya Dania, 13, cedera ringan di kaki.

“Manakala penumpang depan, Rojiah@Rozie Baharuddin, 51, dan seorang lagi penumpang belakang, Nor Syazana Aina, 20, hanya cedera ringan,” katanya.

Bak Phai berkata, polis turut menemui dua set nombor pendaftaran berlainan di dalam kereta Toyota Mark X berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Penolong Penguasa Bomba Kamil Hamadan berkata, lapan pegawai dan anggotanya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan jam 9.30 pagi untuk menyelamatkan mangsa.

Katanya, semua mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 10:03 AM