Keadaan Perodua Viva remuk selepas merempuh tembok pembahagi jalan. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Keadaan Perodua Viva remuk selepas merempuh tembok pembahagi jalan. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Junaidi Ladjana


SEORANG wanita maut manakala dua cedera termasuk seorang parah selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan lalu merempuh tembok konkrit pembahagi jalan di Jalan Lintas berhampiran jalan bertingkat Bukit Padang, Luyang, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian 3.20 pagi itu, penumpang hadapan Perodua Viva, Nurmina Hamiludin, 37, meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala penumpang belakang, Abd Karim Ajarma, 20, parah di paha kiri.

Pemandu lelaki berusia 21 tahun cedera ringan di muka dan seorang lagi penumpang belakang berusia 17 tahun tidak tercedera.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abdul Rakman berkata, mangsa dari arah Inanam ke Lintas.

"Ketika melalui jalan bertingkat Bukit Padang, tiba-tiba kereta berkenaan hilang kawalan lalu terlanggar tembok konkrit pembahagi jalan lalu terpusing ke lorong bertentangan.

"Akibatnya, penumpang hadapan maut manakala dua lagi penumpang dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 2:52 PM