SEEKOR tapir terperangkap di dalam longkang yang sempit di Jalan Aggerik Eria, Kota Kemuning. FOTO Ihsan PERHILITAN
SEEKOR tapir terperangkap di dalam longkang yang sempit di Jalan Aggerik Eria, Kota Kemuning. FOTO Ihsan PERHILITAN
Faliq Lajim


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) terpaksa menggunakan jentolak bagi menyelamatkan tapir betina seberat 300 kilogram yang terjatuh ke dalam longkang di Kota Kemuning di Shah Alam, semalam.

Kejadian 9.25 pagi itu memakan masa kira-kira lima jam untuk membawa keluar tapir daripada longkang sedalam satu meter berkenaan.

Pengarah PERHILITAN Selangor, Abd Rahim Othman berkata, seramai 12 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam pada 9.30 pagi.

“Setibanya di lokasi, seekor tapir dewasa didapati berada dalam longkang yang sempit bersebelahan kawasan perumahan.

“Tapir itu berada dalam keadaan sedar dan mengalami luka ringan di bahagian badan. Rawatan awal dan ubat pelali kemudian diberikan oleh doktor veterinar sebelum operasi pemindahan dilakukan.

“Traktor terpaksa digunakan bagi mengangkat tapir itu dan dialihkan ke dalam kotak khas,” katanya di sini, hari ini.

Kata Abd Rahim, operasi yang selesai 2.15 petang itu turut dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Klang dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Beliau berkata, haiwan berkenaan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak untuk sesi pemantauan dan rawatan lanjut.

“Siasatan masih dijalankan berikutan habitat tapir berdekatan adalah di Jugra, Kuala Langat yang jaraknya kira-kira 32 kilometer dari lokasi kejadian.

“Tapir ini kebiasaannya rabun pada waktu siang dan ia mungkin menyebabkan haiwan itu jatuh ke dalam longkang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 11:29 AM