Asrol Awang


Kuantan: Pasukan penyelamat mengambil masa lima jam untuk mengeluarkan seekor tapir jantan yang terjatuh dalam longkang di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Soi, di sini, hari ini.

Operasi menyelamat haiwan itu dilakukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Tapir seberat 300 kilogram itu terjatuh ke longkang dan disedari orang awam yang kemudiannya menghubungi APM Kuantan.

Pegawai APM Kuantan, Kapten (PA) Zaubidah Said berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.58 pagi.

Katanya, seorang pegawai dan enam anggota APM Kuantan bergegas ke tempat kejadian untuk operasi mengeluarkan haiwan terbabit.

"Pada awalnya tempoh 30 minit dilakukan untuk mengeluarkan tapir itu tetapi gagal sebelum meminta bantuan Perhilitan.

ANGGOTA APM bersama Perhilitan cuba menyelamatkan tapir yang terjatuh dalam longkang Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Soi. FOTO Farizul Hafiz Awang
ANGGOTA APM bersama Perhilitan cuba menyelamatkan tapir yang terjatuh dalam longkang Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Soi. FOTO Farizul Hafiz Awang

"Operasi mengambil masa lima jam untuk mengeluarkan tapir yang dianggarkan seberat 300 kilogram," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, haiwan terbabit mengalami luka di badan akibat pergerakannya di dalam longkang.

Bagaimanapun, katanya, haiwan itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius akibat terjatuh.

"Perhilitan akan merawat luka itu dan jika tidak serius, tapir itu akan dilepaskan ke dalam hutan.

"Difahamkan, tapir itu terjatuh ke dalam longkang kerana hilang keseimbangan ketika makan daun nangka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 6:41 PM