Kuala Pilah: “Ketika dalam perjalanan ke Seremban, saya terkejut menyaksikan seekor tapir berada di tengah laluan.

“Saya menyangkakan tapir itu tidur, rupa-rupanya ia sudah mati,” kata seorang guru dari Kuala Pilah, di sini, Mohd Zainor Hisyam Md Zin, 33.

Mohd Zainor Hisyam berkata, dalam kejadian jam 7.50 pagi, semalam, dia dalam perjalanan dari daerah ini ke Seremban, dekat sini dan mendapati seekor tapir dianggarkan seberat 300 kilogram (kg) mati di Kilometer 20, Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ulu Bendul, di sini.

Katanya, dia menyangkakan seekor lembu melintas jalan hingga menyebabkan berlaku sedikit kesesakan jalan.

“Sejurus memberhentikan kenderaan, saya terkejut mendapati tapir terbabit mati dipercayai dilanggar kenderaan lain,” katanya.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri Wan Mat Wan Harun berkata, tapir berkenaan dipercayai melintas jalan dari kawasan R&R terbabit menuju ke Hutan Rekreasi Ulu Bendul.

Katanya, ketika melintas, haiwan itu dilanggar sebuah kenderaan dan mati di lokasi akibat parah di kepala serta badan.

Menurutnya, pihaknya sudah mengambil bangkai haiwan terbabit untuk dijalankan siasatan dan bedah siasat oleh pegawai PERHILITAN serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Jempol.

“Buat masa ini, bangkai haiwan itu akan ditanam di kawasan berhampiran pejabat PERHILITAN Jempol pada pagi esok (hari ini),” katanya.

Wan Mat berkata, berikutan kejadian itu, pihaknya membuat laporan di Balai Polis Terachi, di sini, jam 9 pagi, semalam.

“Punca kejadian dan kenderaan yang melanggar tapir itu sedang disiasat. Pihak kami juga menolak dakwaan bahawa tapir ini dilarikan pihak tertentu selepas ia dilanggar,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menolak kemungkinan bahawa tapir itu cuba diseludup pihak tertentu sebelum berlaku kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 7:07 AM