DR Mahathir bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali melambaikan tangan ke arah orang ramai di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
DR Mahathir bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali melambaikan tangan ke arah orang ramai di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi; Suhaila Shahrul Annuar; Ahmad Suhael Adnan; Manirajan Ramasamy; Esther Landau dan Veena Babulal


“SAYA ucap berbanyak terima kasih kepada semua yang hadir. Setakat ini, saya sudah bersalam bersama 55,000 orang.

“Saya takut tangan saya lekang (tertanggal), tapi Alhamdulillah masih lagi boleh bersalam,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada pengunjung yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2018 di Putrajaya, hari ini.

Pada masa sama, Dr Mahathir turut memohon maaf kepada mereka memandangkan ada yang tidak berpeluang bersalam dengan beliau.

“Bila sampai masa, terpaksalah (berhenti). Jadi saya ucap selamat hari raya kepada semua yang hadir.

“Saya minta maaf tak dapat bersalam dengan semua yang hadir, tetapi kena tunggu tahun depanlah pula. Timbalan Perdana Menteri akan bersalam menggantikan saya.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang Islam dan bukan Islam. Terima kasih sekali lagi... timbalan saya masih muda, boleh bersalam lagi dan saya beri peluang kepada dia," katanya berucap di hadapan pengunjung yang masih beratur dan menunggu untuk bersalam dengan beliau.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, sambutan perayaan hari ini juga disifatkan sebagai satu kemenangan.

“Kerana tuan dan puan, kita sudah menang walaupun banyak yang kata kita tak boleh menang, tetapi Alhamdulillah sokongan tuan dan puan kami dapat kemenangan.

“Sebab itu, kami ingin ucap terima kasih kepada tuan dan puan yang mengundi Pakatan Harapan dan insya-Allah kami akan tunaikan janji kita iaitu janji pertama nak dihentikan ialah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Tuan dan puan cuma pangkah saja, sudah luput undang-undang yang zalim ini. Itu saja yang kita minta dan itu saja tuan dan puan beri,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada masa ini, rakyat juga akan menikmati kehidupan lebih selesa.

“Sekarang ini kita menikmati cara hidup lebih selesa dan tidak begitu menekan dengan kos sara hidup yang tinggi," katanya sebelum beredar meninggalkan Kompleks Seri Perdana.

Sementara itu, sehingga jam 4.30 petang tadi, kira-kira 80,000 pengunjung dicatatkan menghadiri majlis rumah terbuka berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Jun 2018 @ 6:19 PM