KEADAAN pacuan empat roda dinaiki empat beranak. FOTO Ihsan PDRM.
KEADAAN pacuan empat roda dinaiki empat beranak. FOTO Ihsan PDRM.
Poliana Ronnie Sidom


KEGEMBIRAAN empat beranak bagi menyambut Aidilfitri berakhir tragedi apabila seorang maut, manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan pacuan empat roda dan lori treler di Kilometer 128, Jalan Sandakan-Lahad Datu, dekat Kinabatangan, semalam.

Mangsa yang maut adalah pemandu Mitsubishi Triton, Mohd Faizal Shamsudin, 41, manakala isterinya, Sabaliah Jannary, 34, yang duduk di bahagian belakang pemandu mengalami patah tangan dan anak mereka, Mohammad Faiz Rafiq, 3, yang dipangku Sabaliah mengalami pendarahan di kepala.

Seorang lagi anak pasangan itu, Mohammad Faiz Rayyan, 5, yang duduk di sebelah pemandu hanya cedera ringan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, kereta dipandu Mohd Faizal dikatakan memasuki lorong bertentangan ketika melalui jalan berselekoh sebelum bertembung dengan lori treler yang dalam perjalanan dari Kampung Paris 1 ke Jeroco, dekat Sandakan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat berkata, akibat kejadian itu, mangsa maut di tempat kejadian, manakala pemandu lori yang berusia 51 tahun tidak cedera.

"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mayat mangsa sudah dituntut oleh ahli keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Jun 2018 @ 9:42 AM