Hidayatul Akmal Ahmad


“MUNGKIN asbab saya beri makanan kepada gelandangan menyebabkan kami terselamat dalam kebakaran,” kata Razali Mohammad.

Razali, 65, antara pemilik rumah separuh kekal yang musnah dalam kebakaran di Kampung Segambut Tengah, Segambut, malam tadi.

Katanya, ketika kejadian dia dan isteri, Zukenah Hamid, 56, berada di Jalan Chow Kit untuk memberi makanan kepada 200 gelandangan.

“Saya kemudian dihubungi anak mengatakan rumah terbakar. Terkejut mendengar berita itu, saya dan isteri pulang serta-merta dan apabila sampai, rumah sudah musnah.

“Kami sekeluarga tidak sempat menyelamatkan apa-apa. Hanya tinggal sehelai sepinggang, malah wang tunai RM2,000 simpanan anak untuk berkahwin turut musnah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, sejak waktu Maghrib bekalan elektrik di kawasan perumahan itu terputus dan kebanyakan jiran berada di luar rumah sambil menunggu bekalan elektrik pulih.

RAZALI melihat rumah keadaan rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Segambut Tengah, Kuala Lumpur, malam tadi.  FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
RAZALI melihat rumah keadaan rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Segambut Tengah, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.

“Saya difahamkan punca kebakaran daripada lilin yang dipasang jiran. Mungkin lilin terjatuh lalu menyebabkan kebakaran dan marak hingga menjilat tiga rumah lagi.

“Apapun, kami menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat punca sebenar kejadian,” katanya.

Selain rumah, turut musnah dalam kebakaran adalah warung milik Razali yang menjadi sumber utama pencarian rezeki mereka sekeluarga.

Katanya, mereka kini kami kehilangan tempat mencari rezeki buat sementara waktu.

“Saya berharap pihak berkenaan dapat memberi bantuan sepatutnya memandangkan kami kehilangan tempat tinggal,” katanya.

Terdahulu, empat rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Segambut Tengah, Segambut, malam tadi.

Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Berita berkaitan

'Deretan 4 rumah musnah terbakar'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 4:39 PM