ABDUL Jalil  (tengah) dan Ahmad Zaini (empat dari kiri) bersama pemenang Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR-BH 2018 di KLCC.
ABDUL Jalil (tengah) dan Ahmad Zaini (empat dari kiri) bersama pemenang Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR-BH 2018 di KLCC.
Siti Haliza Yusop


Kuala Lumpur: Naskhah Lelaki Kiriman Tuhan dan Bangkit-Pujuklah Hati 4 masing-masing mengungguli kategori Cereka dan Bukan Cereka pada Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR-BH 2018 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Kemenangan novel Lelaki Kiriman Tuhan tulisan Umie Nadzimah dan Bangkit - Pujuklah Hati 4 oleh Bonda Nor membolehkan kedua-duanya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000 berserta plak dan sijil penghargaan yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR-BH 2018 yang memasuki tahun ke-11 penganjurannya diadakan dengan kerjasama POPULAR dan BH bersempena BookFest@Malaysia 2018 yang bermula semalam hingga 17 Jun 2018 di KLCC.

Abdul Jalil dalam ucapannya berkata, Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR-BH berupaya mengangkat seseorang penulis dalam dunia kesusasteraan bukan saja dalam negara malah peringkat antarabangsa.

“Anugerah ini juga menjadi satu-satunya penganugerahan yang memberi penghargaan kepada penulis dengan buku terlaris.

“Kebanyakan buku yang tercalon bagi kedua-dua kategori ini bukan saja menyajikan pengisian yang bagus tetapi pada masa sama menonjol daripada segi jalan cerita dan premisnya yang menarik,” katanya.

Tegas Abdul Jalil, penulis mungkin merasakan karya mereka tidak signifikan tetapi sebenarnya ia akan sentiasa menjadi naskhah penting yang menyubur minat membaca masyarakat negara ini.

“Harapan saya, karya kesusasteraan hebat pengarang tanah air akan memberi aspirasi dan menjadi galakan buat penulis baru untuk berkarya dan meneruskan kecemerlangan kesusasteraan tanah air,” katanya.

Turut hadir, Pengarang Eksekutif BH Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Pengerusi POPULAR Holdings Limited Desmond Wee, Ketua Pegawai Eksekutif POPULAR Holdings Limited Chou Cheng Ngok dan Pengarah Eksekutif Popular Book Co (M) Sdn Bhd (POPULAR) Lim Lee Ngoh.

Sementara itu Wee berkata, POPULAR sentiasa percaya keupayaan dan bakat penulis tanah air setanding pengarang luar negara daripada aspek kreatif dan kepelbagaian yang ditampilkan dalam karya.

“Penganugerahan ini bertujuan meraikan penulis. Mereka inilah golongan yang menterjemahkan frasa mata pena itu lebih tajam daripada pedang.

“Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR-BH ini diadakan dengan hasrat untuk meraikan kesungguhan mereka dalam menghasilkan karya bermutu.

“Dengan sokongan daripada penerbit dan pembaca, kami pasti kesusasteraan tanah air akan lebih menonjol masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 7:08 AM