Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Tiga tokoh penulis tanah air diumum sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara atau SEA Write Award untuk 2019, 2020 dan 2021.

Mereka ialah pensyarah kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Shamsudin Othman, bekas jururawat Aminah Mokhtar dan pesara guru Bahasa Melayu Mohd Rosli Nik Mat atau nama penanya Rosli K Matari.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran berkata, penerima 41, 42 dan 43 itu diumum sekali gus kerana sebelum ini majlis penganugerahan terpaksa ditangguhkan berikutan Covid-19 melanda seluruh negara.

"Sejak anugerah ini diwujudkan, seramai 40 tokoh penulis di Malaysia menerima pengiktirafan ini.

"Pada hari ini, saya amat berbesar hati dapat mengumumkan secara rasmi penerima SEA Write Award Malaysia 2019, 2020 dan 2021, iaitu penerima anugerah yang ke-41, 42 dan 43.

"Bagi 2019, panel pemilih memilih Dr Shamsudin Othman, Aminah Mokhtar pula pemenang 2020 manakala panel penilai memilih Mohd Rosli Nik Mat atau lebih dikenali sebagai Rosli K Matari sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara bagi 2021 dan nama beliau dikemukakan pada 17 Disember 2021 kepada Sekretariat Tetap SEA Write Award di Bangkok," katanya dalam sidang media di Anjung Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.

Menurutnya, Sekretariat Tetap Thailand mengesahkan secara rasmi penerima SEA Write Award bagi 2019, 2020 dan 2021 melalui surat bertarikh 28 Januari lalu.

"Sekretariat Tetap Thailand memaklumkan majlis Penganugerahan Anugerah Penulisan Asia Tenggara untuk penerima 2019, 2020 dan 2021 dijadualkan diadakan pada April 2022.

"Bagaimanapun, tarikh dan masa belum dimuktamadkan dan majlis itu tertakluk kepada keputusan penganjur, prosedur dan peraturan kemasukan ke negara Thailand dalam situasi pandemik Covid-19.

"Semua pemenang akan memperoleh hadiah wang tunai 50,000 baht (kira-kira RM6,273), tiket penerbangan dan penginapan percuma di Bangkok," katanya.

Abang Sallehuddin berkata, pemilihan pemenang dibuat DBP selaku Sekretariat Tetap Anugerah Penulisan Asia Tenggara berdasarkan kriteria ditetapkan jawatankuasa pemilihan.

"Panel penilai mempertimbangkan beberapa perkara berdasarkan kekuatan karya dan sumbangan mereka kepada masyarakat," katanya.

Abang Sallehuddin berkata, pemilihan penerima bagaimanapun tidak dibuat berdasarkan pada karya popular semata-mata.

"Pemilihan ini sebaliknya berbeza daripada Thailand yang memilih penerimanya berdasarkan karya popular pada tahun itu. Di Malaysia, pemilihan dibuat secara menyeluruh," katanya.

Sementara itu, penyair kelahiran Kelantan berusia 61 tahun, Rosli K Matari berkata, dia berterima kasih dan begitu menghargai keputusan juri memilihnya sebagai pemenang pada 2021.

"Kesusasteraan adalah suatu kegeniusan kreativiti tinggi yang bertitik tolak gabung jalin keintelektualan, nurani, dan emosi yang mengandungi kehalusan dan keindahan pada hala tuju kesedaran, keinsafan, nilai murni, pengajaran, pendidikan, dan kecerdasan minda bagi kepentingan masyarakat, bangsa, agama, negara dan peradaban," katanya.

Rosli muncul dengan kumpulan puisi pertamanya, Nun Bulan pada 2011 dan karya itu yang dihasilkan selepas 33 tahun berada dalam ranah sastera diakui pengkritik sebagai himpunan puisi yang mantap merentas dekad.

Karyanya yang lain termasuk Anak Dusun yang diterbitkan pada 2012, Tidakkah Kita Berada di Sana (2013), Hanya Langit Meratap (2014) serta Matahari Itu Jauh (2015) yang memenangi tempat kedua Sayembara Penulisan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)-PENA-BH 2.

Untuk rekod, SEA Write adalah pengiktirafan kesusasteraan yang dimulakan pada 1979 oleh Kerajaan Thailand dan Yayasan Jim Thompson.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 5:16 PM