SUSPEK keluar dari premis selepas berjaya melarikan rantai emas dari pembantu kedai kosmetik menyebabkan mangsa terjatuh dalam kejadian di sebuah kedai kosmetik di Jalan Sekerat. FOTO Tular TikTok
SUSPEK keluar dari premis selepas berjaya melarikan rantai emas dari pembantu kedai kosmetik menyebabkan mangsa terjatuh dalam kejadian di sebuah kedai kosmetik di Jalan Sekerat. FOTO Tular TikTok
Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Lelaki berjaya melarikan rantai emas selepas meragut dari leher seorang pembantu kedai kosmetik di Jalan Sekerat, di sini, semalam.

Terdahulu, lelaki berusia 30-an itu dipercayai masuk ke dalam kedai kosmetik itu dengan memakai topi keledar dan berpura-pura hendak membeli produk di situ.

Namun, ketika wanita itu memberi penerangan berkaitan produk, suspek bertindak meragut rantai leher itu sehingga menyebabkan mangsa terjatuh.

Video berdurasi 38 saat itu turut ditular di aplikasi Tik Tok sejak semalam dan polis sedang mengesan suspek.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian 10.30 pagi semalam itu ketika mangsa berusia 31 tahun yang berada dalam kedai kosmetik itu seorang diri.

Beliau berkata, seorang lelaki tidak dikenali masuk ke dalam premis dengan memakai topi keledar merah dan memberitahu mahu membeli produk dan bertanyakan mengenai salah satu produk.

"Ketika mangsa memberi penerangan mengenai produk, ketika itulah suspek bertindak meragut rantai leher emas yang dipakai mangsa menyebabkan mangsa cuba melawan tetapi terjatuh.

"Suspek kemudian keluar dari kedai itu dan beredar menaiki motosikal yang jenis dan nombor pendaftarannya tidak dapat dipastikan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zaidy berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami sedikit lebam di leher.

Beliau berkata, suspek dipercayai menanggalkan sebahagian nombor pendaftaran motosikalnya.

"Suspek hanya berjaya melarikan rantai emas berkenaan yang anggaran kerugiannya sekitar RM3,000," katanya.

Zaidy berkata, pihaknya mengesan suspek yang dipercayai berbadan gempal serta memiliki ketinggian 175 sentimeter (sm).

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 9:58 AM