MUHAMMAD Riyardh  (kanan)  bersama penduduk  melakukan gotong-royong melapah daging korban sempena ibadah korban Hari Raya Aidiladha anjuran PIUSBNS di Surau Uwais al Qarni, Taman Medang.
MUHAMMAD Riyardh (kanan) bersama penduduk melakukan gotong-royong melapah daging korban sempena ibadah korban Hari Raya Aidiladha anjuran PIUSBNS di Surau Uwais al Qarni, Taman Medang.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Nilai: “Islam agama yang indah dan mengajar erti pengorbanan,” kata saudara baru, Muhammad Riyardh Aidan Chuah Abdullah, 25, yang pertama kali mengikuti ibadat korban di Surau Uwais al Qarni, Taman Medang, Mantin di sini, semalam.

Muhammad Riyardh berkata, dia yang memeluk Islam Januari lalu teruja mengikuti pelaksanaan ibadat itu dalam menyelusuri sejarah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

“Ibadat korban mengajar saya maksud sebenar di sebalik pengorbanan dan ia pengalaman baru dalam melaksanakan syariat Islam,” katanya yang turut menyaksikan kerja menyembelih dan melapah daging lembu untuk diagihkan kepada peserta.

Program anjuran Persatuan Ikatan Ukhuwah Saudara Baru Negeri Sembilan (PIUSBNS) itu disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Zulkefly Mohammad Omar.

Hadir sama, Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Datuk Kamal Amran Kamarudin.

Muhammad Riyardh berkata, dia berbesar hati mengikuti aktiviti berkenaan dan diberi kefahaman oleh jemaah surau mengenai pelaksanaan korban.

“Hati saya terdetik memeluk Islam kerana tenang setiap kali mendengar azan. Biarpun begitu, bapa, kakak dan keluarga menentang hasrat ini,” katanya.

Menurutnya, selepas mendapat restu neneknya, dia memeluk Islam di Port Dickson dan berazam menonjolkan akhlak yang baik kepada keluarga.

“Walaupun saya saudara baru, saya tetap menyayangi keluarga dan hubungan kami tidak akan putus,” katanya.

Seorang lagi mualaf, Ismail Abdullah, 33, berkata program itu adalah kali ke-10 disertainya selepas memeluk Islam.

“Islam itu indah dan mengajar umatnya sentiasa berkorban. Saya menerima hidayah daripada Allah untuk memeluk agama suci ini biarpun ditentang keluarga.

“Inilah pengorbanan yang dapat dilakukan,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Menurutnya, hanya dia seorang dalam keluarganya beragama Islam dan selepas 10 tahun hubungan bersama ahli keluarga dapat dijernihkan semula.

“Saya buktikan pada keluarga bahawa Islam agama suci melalui akhlak dan tingkah laku.

“Keluarga memandang serong pada Islam kerana menonton drama bersiri yang menampakkan kejadian rogol, zina dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PIUSBNS Muhammad Rizduan Lau Abdullah berkata, kira-kira 100 mualaf mengikuti aktiviti berkenaan dengan kerjasama jawatankuasa surau dan penduduk.

Katanya, program berkenaan memberi pengalaman kepada saudara baru mengenai mengenai ibadat korban.

“Ia program tahunan yang mengajak mualaf bersama-sama membantu melaksanakan ibadat korban,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 11:23 AM