Ruwaida Md Zain


POLIS Klang Selatan menafikan kematian anak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Allahyarham Datuk Zakaria Md Deros akibat dipukul sekumpulan lelaki, pagi semalam.

Berita kematian itu tular lebih lima jam lalu di media sosial bersama beberapa gambar mangsa dan rakannya dalam keadaan cedera teruk serta video ketika pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar ketika dihubungi berkata, maklumat yang tersebar itu tidak benar.

Beliau berkata, dalam kejadian 5 pagi semalam, mangsa berusia 48 tahun sedang bersahur dengan rakannya di sebuah restoran.

“Semasa sedang bersahur dengan rakannya di restoran, pengadu diberitahu ada kekecohan di premis snuker 93, Kampung Idaman, Pandamaran.

“Pengadu bersama rakannya ke tempat kejadian dan ternampak sekumpulan lima lelaki sedang membuat kecoh.

“Pengadu dan rakannya cuba meleraikan, tetapi sebaliknya dipukul dengan kayu dan kerusi.

“Berikutan itu, pengadu luka di badan dan menerima 18 jahitan di kepala, manakala rakannya kini ditahan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang,” katanya.

Beliau berkata, kelima-lima suspek sudah ditangkap semalam dan awal pagi hari ini di beberapa lokasi sekitar Klang.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 11:30 PM