GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


TIGA lelaki ditahan selepas dipercayai memukul anggota polis yang tidak bertugas dalam satu kejadian di Berjaya Park Shah Alam, Shah Alam, semalam.

Pada masa sama, polis kini sedang mencari dua lagi suspek yang dipercayai terbabit dengan insiden itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan awal 30an ditangkap di sekitar Seksyen 32, Shah Alam, 1.30 tengah hari tadi.

Beliau berkata, dalam kejadian 10.30 malam semalam, mangsa, Lans Koperal Abi Sofian Abd Mutalib, 32, diserang lima suspek yang dipercayai mabuk di kedai di Jalan Sungai Rasau E32/E Berjaya Park, Shah Alam.

“Mangsa ke kedai itu untuk membeli pengecas telefon bimbit, sebelum diserang lima suspek yang mabuk. Seorang daripada suspek mengenali mangsa sebagai anggota polis sebelum merakam pengadu menggunakan telefon bimbit sambil mengatakan ‘inilah polis suka makan rasuah’.

“Pengadu bertanyakan kepada suspek mengapa dia merakam dan membuat tuduhan seperti itu sedangkan ketika itu pengadu hanya ingin membeli pengecas telefon dan tidak bertugas,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Beliau berkata, mangsa cuba menghalang suspek daripada terus merakam dan mengeluarkan tuduhan seperti itu, namun berlaku pergelutan antara pengadu dan suspek.

“Ketika bergelut, seorang suspek menumbuk muka pengadu dan terkena di bahagian pipi kanan pengadu sebelum rakannya cuba menghalang lelaki itu.

“Selepas pergelutan berjaya dileraikan, suspek mengugut untuk menularkan video yang dirakam di media sosial.

“Pengadu segera menghubungi Pondok Polis Berjaya Park untuk meminta bantuan, bagaimanapun apabila kereta peronda polis tiba kesemua suspek terus melarikan diri,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya berjaya mengesan suspek menerusi nombor pendaftaran kenderaan yang dinaiki mereka.

“Ketiga-tiga suspek ditahan untuk siasatan lanjut, manakala polis sedang berusaha mengesan dua lagi suspek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 12:10 AM