GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


POLIS Klang Selatan memberkas seorang lelaki warga tempatan dipercayai terbabit dalam kes samun dan cabul wanita warga Indonesia, tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan di Jalan Sungai Udang. Klang, pada 1.30 tengah hari.

“Ketika ditahan, suspek yang tidak bekerja itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Polis turut merampas seutas rantai emas (milik mangsa), resit pajak gadai, sehelai baju kemeja-t dan sehelai seluar jeans dipercayai digunakan ketika kejadian terbabit.

“Suspek mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan merompak dan ketika soal siasat, suspek mengaku terbabit dalam kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shamsul Amar berkata, polis akan meneruskan siasatan setelah permohonan reman dibuat esok.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

“Dalam kejadian 10 pagi Isnin itu, mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pencuci di kedai dobi 24 jam didatangi suspek secara mengejut dari arah belakang.

“Pengadu memberitahu, semasa berada di dalam kedai dobi 24 jam di Kampung Sungai Udang, Klang, seorang lelaki dari arah belakang terus memekup muka pengadu dengan menggunakan tangan dan mengheret pengadu masuk ke dalam stor serta meraba badan pengadu.

“Pengadu bergelut dengan suspek dan suspek menarik gelang tangan hingga putus dan membawa lari barang kemas itu dengan menaiki motosikal, namun tidak pasti nombor pendaftarannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 10:38 PM