HIASAN.
HIASAN.
Syalikha Sazili


UNIT Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO meminta kerajaan meneruskan pemberian bonus kepada penjawat awam dan peneroka FELDA sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan serta kerja keras mereka.

Menurutnya, di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, setiap individu dalam sektor perkhidmatan awam akan dibayar bonus hari raya sebanyak RM500 setiap tahun.

“UMNO memandang berat dengan kenyataan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masih belum mengesahkan pembayaran bonus ataupun menyatakan jumlah bonus hari raya untuk penjawat awam.

“Kami berharap kerajaan tidak menggunakan ‘hutang negara’ yang diuar-uarkan angkanya RM1 trilion sebagai alasan untuk tidak membayar peneroka FELDA sekali gus mengkhianati kepercayaan sesetengah peneroka ini yang mengundi PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini menyatakan ekonomi kita kukuh dan kuat tetapi kemudian beliau memberikan alasan ekonomi negara lemah dan hanya akan mempertimbangkan pembayaran bonus hari raya untuk penjawat awam yang bergaji rendah saja,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sepanjang sembilan tahun lalu, kerajaan BN di bawah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi perhatian khusus untuk memperbetulkan kedudukan tangga gaji penjawat awam yang bergaji rendah.

Ia juga menegaskan, sekiranya kerajaan berkeras dan enggan memberi bonus maka ia akan menjadi tamparan berganda kepada pekerja sektor awam.

“Sebelum ini kerajaan juga sudah mengumumkan mereka akan mengkaji semula kenaikan gaji penjawat awam yang dirancang untuk tahun ini, memandangkan ini adalah janji BN dan bukan janji PH.

“Kami anggap sebagai suatu ketidakadilan untuk penjawat awam, justeru kami berharap kerajaan mengiktiraf keadaan sektor perkhidmatan awam dan jurang gaji yang besar berbanding sektor swasta.

“Selain itu, isi rumah peneroka FELDA sebelum ini juga turut dibayar bonus sebanyak RM500, namun belum ada lagi pengumuman buat mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 3:54 PM