KUALA LUMPUR: Bilangan pegawai kontrak dalam sektor perkhidmatan awam adalah sebanyak 47,728 orang setakat 31 Januari 2015.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, jumlah itu meliputi 43,861 pekerja lantikan 'Contract Of Service' (COS) dan 3,867 adalah lantikan 'Contract For Service' (CFS).

"Tidak timbul soal pekerja kontrak tidak terjaga dari segi gaji," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baharu) yang ingin tahu jumlah pekerja berstatus kontrak dalam sektor awam pada masa ini.

Shahidan berkata, ini kerana bagi pegawai COS, mereka dilantik bersandarkan kepada skim perkhidmatan dan gred gaji yang berkuat kuasa sama seperti pegawai lantikan tetap.

Tambahnya, dalam tempoh kontrak, pegawai akan melaksanakan tugas berdasarkan skop tugas yang ditetapkan bagi jawatan yang dilantik dan dibayar gaji beserta imbuhan tetap sebagaimana yang diterima oleh pegawai tetap.

Bagi lantikan CFS pula, pembayaran perkhidmatan pegawai serta fungsi tugas ditetapkan berdasarkan kepada perjanjian perkhidmatan dengan majikan yang dipersetujui oleh pegawai kontrak berkenaan.

Jelas Shahidan, kerajaan sentiasa menjaga kebajikan penjawat awam termasuk pegawai kontrak dan tidak berbangkit isu kebajikan terabai kerana mereka juga menerima pemberian bonus seperti yang dinikmati pegawai tetap.

Dalam sektor perkhidmatan awam, COS mengguna pakai skim perkhidmatan, gred dan kadar gaji yang ditetapkan manakala CFS pula tidak mengguna pakai sebarang skim perkhidmatan, gred jawatan, kadar gaji serta sebarang peraturan yang ditetapkan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:12 PM