KERAJAAN Singapura akan memberi pertimbangan khas bagi pekerja bergaji rendah. FOTO AFP
KERAJAAN Singapura akan memberi pertimbangan khas bagi pekerja bergaji rendah. FOTO AFP
Agensi

Singapura: Singapura akan membuat potongan gaji sekali antara 0.5 bulan hingga sebulan bagi pegawai gred 'superscale' dan tidak akan memberikan bonus pertengahan tahun kepada semua penjawat awam di republik berkenaan.

Pengumuman itu dibuat Jabatan Perkhidmatan Awam dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Keputusan itu diambil selepas jabatan itu membuat rundingan dengan kesatuan sektor awam.

"Pandemik Covid-19 telah mempengaruhi keadaan ekonomi yang belum pernah terjadi sebelum ini secara luaran dan domestik.

"Berdasarkan anggaran terkini, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan menurunkan ramalan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2020 kepada -7.0 peratus hingga -4.0 peratus daripada ramalan sebelumnya iaitu -4.0 peratus hingga -1.0 peratus," kata kenyataan itu.

Berita Harian Singapura melaporkan, dengan keadaan ekonomi muram itu, kerajaan memutuskan bahawa tiada bonus pertengahan tahun akan diberikan kepada penjawat awam tahun ini.

Malah, pegawai awam dalam gred 'superscale' akan dipotong gaji sekali sebanyak 0.5 hingga 1 bulan, dengan mereka yang bergaji lebih tinggi dikenakan potongan gaji lebih besar.

Ini berikutan potongan gaji yang diumumkan sebelum ini membabitkan pegawai kanan perkhidmatan awam dalam kedudukan kepimpinan utama yang dipotong gaji sebanyak 0.5 bulan pada Februari lalu.

Katanya, kerajaan Singapura juga akan mengambil kira dan mempertimbangkan cadangan NWC (Majlis Gaji Kebangsaan) untuk memberi pertimbangan khas bagi pekerja bergaji rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 6:28 PM