Zanariah Abd Mutalib


MENTERI, Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) akan membuat pengisytiharan harta masing-masing, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, ia antara perkara yang pernah dinyatakan pemimpin PH sebelum ini dan ia wajar dilakukan.

"Ya.. (berhubung pengisytiharan harta). Ia adalah sebahagian daripada cara pengurusan kita," katanya.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian pada sidang media selepas menerima nota serah tugas daripada bekas Menteri, Datuk Seri Rohani Abdul Karim di sini, hari ini.

Mac lalu, media melaporkan, seramai 36 ahli politik Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR yang berpotensi menjadi calon Pilihan Raya Umum Ke-14 ketika itu mengisytiharkan harta mereka dalam acara anjuran badan bukan kerajaan, Invoke Malaysia.

TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika hari pertama memulakan tugasnya sebagai Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga dan turut bersama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Suriani Ahmad. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika hari pertama memulakan tugasnya sebagai Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga dan turut bersama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Suriani Ahmad. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Bagaimanapun, ia tidak membabitkan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP.

Seramai 103 pemimpin PH turut dilaporkan sudah mengisytiharkan harta dengan Invoke, termasuk mereka yang berbuat demikian pada November tahun lalu.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua sebelum ini pernah dilaporkan berkata, kepimpinan parti itu hanya akan mengisytiharkan harta mereka apabila berjaya menawan Putrajaya.

Sementara itu, ditanya seberapa cepat pengisytiharan harta itu akan dilakukan, Wan Azizah hanya menjawab 'Menteri Kewangan', yang merujuk kepada Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 1:46 PM