Oleh Hairulazim Mahmud


Kuala Lumpur: Parti Sosialis Malaysia (PSM) berang berikutan dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming yang dikatakan berbohong berkaitan penubuhan Pakatan Harapan.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan menegaskan, kedua-dua Ahli Parlimen DAP dan bekas PAS itu ternyata menipu kononnya PSM tidak dijemput bersama pakatan baru kerana tidak bersetuju dengan Artikel 153 Perlembagaan Malaysia yang dipersetujui dalam Dasar Bersama pembangkang sebelum ini.

“Kami cabar dan menuntut penjelasan berikutan kenyataan mereka kerana ia jelas menipu, palsu dan berniat jahat.

“Selama ini saya fikir mereka berdua itu bermoral tinggi dan berintegriti,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Artikel 153 Perlembagaan Malaysia memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, secara kumpulannya dirujuk sebagai Bumiputera.

Selasa lalu, Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengisytiharkan penubuhan pakatan baru membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pekerja Malaysia (PPM) dan DAP.

Bagaimanapun PSM selaku parti pembangkang tidak dijemput menyertai gabungan baru itu yang turut tidak disertai PAS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 7:21 PM