Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Akhirnya seperti yang dijangka Majlis Syura Ulama (MSU) PAS membuat keputusan membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP.

Setiausaha MSU Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menegaskan, keputusan itu dibuat berikutan badan tertinggi parti berkenaan kesal dengan tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP yang mengecam selain melanggar semangat kerjasama pakatan pembangkang serta campur tangan dalam akidah, dasar dan matlamat PAS.

Sedangkan, katanya, PAS istiqamah dengan prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua yang menegakkan keadilan dan kesejahteraan untuk semua kaum.

“Bagaimanapun kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikekalkan,” katanya.

Ketegangan hubungan PAS dan DAP memuncak apabila Dewan Ulama PAS mengemukakan usul pada Muktamar Tahunan ke-61 awal bulan lalu supaya hubungan kedua-dua parti pembangkang terbabit ditamatkan berikutan tindakan berterusan parti dominasi kaum Cina itu mengkritik serta menghina dasar dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah, serangan ke atas PAS oleh DAP sudah bermula awal apabila Abdul Hadi dengan tegas enggan menyokong Presiden PKR Datin Dr Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa krisis politik negeri itu berikutan ‘Langkah Kajang’ yang dilancarkan PKR.

DAP kemudian membuat keputusan pelik memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi tetapi kekal bekerjasama dengan PAS sebelum mengisytiharkan bahawa pakatan pembangkang sudah musnah baru-baru ini.

Sikap campur tangan melampau dalam PAS menyebabkan kumpulan yang cenderung menyokong DAP diketuai bekas Timbalan Presiden Mohamad Sabu kalah teruk kepada kem yang mendokong aspirasi ulama pada pemilihan parti semasa muktamar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:05 AM