Reaksi Lim semasa berucap pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang STPM 2017 peringkat negeri. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Reaksi Lim semasa berucap pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang STPM 2017 peringkat negeri. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Muhammad Yusri Muzamir

KETUA Menteri, Lim Guan Eng akan mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas pada jam 8.30 pagi Isnin ini bagi membincangkan soal pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

"Satu pengumuman akan dibuat kemudian. Ini untuk jawapan yang tentu akan ditanyakan pihak media dan ia akan diuruskan pada Isnin ini," katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Parlimen dibubarkan hari ini, selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam perkembangan lain, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP mengakui keputusan pakatan pembangkang menggunakan logo PKR pada PRU-14 akan menjejaskan sokongan pengundi daripada DAP.

Katanya, ia berikutan ramai penyokong parti itu yang tidak biasa dengan keputusan berkenaan, khususnya di kawasan tradisi yang ditandingi DAP, selain menyifatkan tindakan itu adalah sukar bagi parti terbabit.

"Ini memang akan menimbulkan kesulitan. Beban agak berat untuk kita menjelaskan kepada pengundi dan penyokong DAP, selain turut menerima teguran sama daripada Penasihat DAP, Dr Chen Man Hin.

"Kita akan beri penjelasan dan berharap beliau (Man Hin) akan faham keperluan semasa dalam keadaan genting ini dan mengucapkan terima kasih atas nasihat, pandangan dan teguran beliau.

"Saya juga perlu beri penjelasan kepada ahli dan kita akan mengadakan perhimpunan kebangsaan di Dewan Sivik, Petaling Jaya, Selangor, Isnin ini, untuk menjelaskan pemimpin parti di peringkat negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 3:57 PM