Kuala Lumpur: Hala tuju Perhimpunan Agung UMNO 2014, kali ini secara jelas mendesak perlunya tumpuan mengenai peremajaan parti diberi penekanan, khususnya untuk menarik lebih banyak penyertaan dan merealisasikan aspirasi golongan muda.

Dalam taklimat tertutup selama sejam di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, pentingnya UMNO disertai lebih ramai golongan muda dan profesional.

Justeru, Perdana Menteri mahu sistem permohonan keanggotaan UMNO diperkemas menerusi sistem online yang akan diwujudkan dan diluluskan Ibu Pejabat UMNO berbanding sebelum ini yang diluluskan di peringkat bahagian, ekoran beberapa masalah seperti kehilangan borang dan pendaftaran menjadi anggota ditolak, timbul sebelum ini.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pendaftaran secara online merupakan suatu pendekatan baru bagi memantapkan lagi hala tuju parti.

“Dengan cara ini, kita bukan sahaja dapat menambah bilangan ahli UMNO, tetapi juga menambah bilangan pengundi (yang menyokong UMNO) pada masa akan datang,” kata Mohd Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Menteri Pertahanan, menyifatkan usaha itu sebagi satu inisiatif bagi memastikan parti terus inklusif.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berharap lebih ramai anggota masyarakat khususnya kaum wanita menyertai UMNO dengan wujudnya proses pendaftaran keanggotaan secara online.

“Presiden UMNO kata tiada lagi (kerenah) birokrasi dan kalau sesiapa sahaja yang minat menyertai UMNO boleh berbuat demikian melalui online sahaja, lebih mudah,” katanya, dan menambah kata bahawa proses pendaftaran baru itu membuktikan keterbukaan UMNO.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berpendapat kewujudan sistem itu mampu membuka ruang kepada lebih ramai generasi muda menyertai parti.

“Presiden sebut satu perubahan dalam proses keahlian UMNO di mana kita akan memperkenalkan proses pendaftaran dalam talian dan kali ini dibuat dengan lebih mudah dan kelulusan itu dibuat dalam masa singkat, diluluskan oleh ibu pejabat dan bukan lagi bahagian,” katanya.

Khairy berkata, pendaftaran secara dalam talian ini akan membuka ruang lebih luas untuk orang muda menyertai UMNO dan satu petanda baik bahawa parti itu sedia berubah dan mewujudkan proses pendaftaran mesra generasi muda.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, peremajaan UMNO di setiap peringkat termasuk barisan kepimpinan amat diperlukan dan berharap ia menjadi agenda parti dan bukannya hanya terletak di atas bahu sayap Pemuda dan Puteri semata-mata.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyifatkan langkah itu mampu menyemarakkan perjuangan pemimpin sedia ada.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, selain agenda peremajaan parti, Najib juga mahu agenda pemerkasaan orang Melayu dan Bumiputera diberi keutamaan.

Menteri Besar Kedah itu berkata, agenda pemerkasaan orang Melayu dan Bumiputera dalam soal pendidikan, ekonomi dan sosial terus menjadi perjuangan parti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, taklimat itu juga antara lain meniup semangat untuk anggota UMNO untuk terus bekerja dengan lebih kuat, terutamanya pemimpin muda. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 8:35 PM