PROFESOR Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk (kiri) dan Dr. Ainul Adzellie Hasnul (kanan). Foto ARKIB NSTP
PROFESOR Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk (kiri) dan Dr. Ainul Adzellie Hasnul (kanan). Foto ARKIB NSTP
Nazura Ngah


KEPUTUSAN pemilihan kepimpinan baharu tiga sayap UMNO Sabtu lalu mungkin tidak memberi kesan terhadap pemilihan Majlis Tertinggi (MT), hujung minggu ini.

Penganalisis politik berpendapat sukar untuk meramal corak, hala tuju dan cita rasa kepimpinan bahagian dalam memilih pemimpin utama termasuk presiden, timbalan presiden dan naib presiden untuk menerajui UMNO bagi tempoh 2018 hingga 2021.

Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk berkata, pemilihan peringkat sayap hanya mencerminkan cita rasa dan kehendak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, manakala pemilihan pucuk pimpinan mencerminkan cita rasa keseluruhan ahli yang diwakili pemimpin peringkat bahagian.

Beliau berkata, malah pemilihan kali ini berlaku dalam suasana UMNO bukan sebagai parti pemerintah, maka perspektif pembaharuan dijangka lebih memainkan peranan dalam menentukan struktur baharu kepimpinan, bukannya corak pemilihan sayap lalu.

Katanya, pengaruh perwakilan sayap hanya terhad kepada pemilihan tiga pergerakan itu, manakala untuk pemilihan peringkat MT akan menyaksikan pemimpin peringkat bahagian khususnya ketua dan timbalan ketua bahagian mempunyai pengaruh kuat terhadap pilihan perwakilan.

“Juga tidak tepat jika dikatakan kepimpinan baharu sayap UMNO menyaksikan tokoh baharu diangkat pada pemilihan Sabtu lalu kerana ketiga-tiga pemimpin itu sudah bergiat aktif serta pernah dan masih memegang jawatan dalam parti.

“Maka sudah ada kesinambungan dari kepimpinan lalu, sekali gus mencerminkan kesinambungan perjuangan UMNO,” katanya.

Keputusan rasmi pemilihan Sabtu lalu yang diumumkan semalam menyaksikan bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad dipilih sebagai Ketua Wanita, manakala Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Ketua Pemuda dan Naib Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan sebagai Ketua Puteri baharu.

Mengulas lanjut, Azeem Fazwan berkata, berdasarkan perkembangan politik semasa, UMNO memerlukan pembaharuan secara menyeluruh untuk menjadi parti pembangkang dominan yang boleh membawa suara berbeza dalam kerajaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika dilihat calon presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pemangku Presiden UMNO dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin adalah pemimpin yang mempunyai pertalian dengan kerajaan sebelum ini.

Justeru, katanya adalah sukar untuk dua calon berkenaan menonjolkan pembaharuan kerana mereka pernah berada dalam kerajaan sebelumnya dan gagal membawa pembaharuan berkenaan.

“Sebaliknya Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li, walaupun hanya seorang Ahli Parlimen dan dan Ketua UMNO Gua Musang, beliau mempunyai lebih kredibiliti dengan pengalaman sebagai Naib Presiden UMNO.

“Ku Li juga pernah berada dalam Kabinet di bawah pentadbiran tiga Perdana Menteri termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad. Jika mengambil kira faktor pembaharuan, maka calon yang menonjol dan tiada kaitan dengan pemerintahan sebelum ini adalah Ku Li.

“Namun, jika perwakilan inginkan kesinambungan mungkin mereka akan memilih calon yang ada kaitan dengan parti dan kerajaan terdahulu, tetapi ia satu pilihan kurang bijak kerana kerajaan sebelum ini ditolak rakyat,” katanya.

Beliau berpandangan seharusnya Ahmad Zahid dan Khairy mengambil tanggungjawab secara kolektif seperti dilakukan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dengan tidak menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi sebagai mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Sementara itu penganalisis politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul turut berpendapat sukar meramal corak pemilihan pucuk pimpinan UMNO Sabtu ini walaupun perwakilan peringkat sayap sudah menyuarakan kehendak masing-masing.

Bagaimanapun, beliau berkata corak pemilihan Wanita, Pemuda dan Puteri menunjukkan ketiga-tiga pergerakan itu mahukan perubahan dalam parti.

“Pastinya akan berlaku persaingan sengit antara tiga calon presiden dan dijangkakan jawatan nombor satu itu akan dimenangi tokoh yang tiada kaitan dengan kepimpinan UMNO sebelum ini.

“Kekuatan Khairy adalah pada ahli UMNO muda, manakala Ahmad Zahid mempunyai pengaruh dalam kalangan akar umbi. Ku Li pula mempunyai kekuatan dalam kalangan veteran dan ahli UMNO yang ingin melihat perubahan drastik dalam kepemimpinan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 2:50 PM