APLIKASI perkhidmatan Uber. FOTO arkib NSTP Mikail Ong
APLIKASI perkhidmatan Uber. FOTO arkib NSTP Mikail Ong
Oleh Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Sebanyak 76.4 peratus atau 6,791 daripada 9,026 pengguna teksi di negara ini mengakui lebih selesa menggunakan Uber dan GrabCar sebagai pengangkutan awam menggantikan teksi awam yang disifatkan memberi perkhidmatan yang kurang memuaskan.

Kaji Selidik Maklumbalas: Perkhidmatan Teksi di Malaysia yang dilakukan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melalui laman web spad.gov.my sejak petang semalam itu turut mendapati, 7,728 atau 86.6 peratus pengguna teksi memberi alasan teksi awam mengenakan tambang lebih atau tidak menggunakan meter.

"Masalah lain yang dinyatakan 9,026 responden terhadap teksi awam ialah berkaitan kelakuan pemandu (6,016), kebersihan (3,832), keselesaan (3,563), ketersediaan teksi (3,128), pengetahuan berkaitan laluan (2,126), keupayaan pemanduan (1,962), penampilan pemandu (1,774), ketepatan masa (1,635) bantuan yang diberikan oleh pemandu (1,068)dan lain-lain masalah (222).

"Alasan mengapa mereka gemar menggunakan Uber atau GabCar pula ialah kerana perkhidmatan itu dikatakan boleh dipercayai (5,459), mudah diakses (5,290), murah (5,059),selesa (4,218) dan 3,944 responden merasakan ia selamat digunakan sebagai pengangkutan awam," katanya kenyataan itu di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 9:05 PM