HUSSEIN (tengah) semasa sidang media berhubung isu angkat sumpah dan perlantikan Menteri Besar baru di Pejabat PAS, Rusila. -Foto GHAZALI KORI
HUSSEIN (tengah) semasa sidang media berhubung isu angkat sumpah dan perlantikan Menteri Besar baru di Pejabat PAS, Rusila. -Foto GHAZALI KORI
Isma Ismail dan Baharom Bakar


MENTERI Besar dan 10 Exco Terengganu dijadualkan akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Husein Awang tidak menamakan siapa Menteri Besar dan exco terbabit.

Sebaliknya, beliau menyatakan pihak media boleh mengetahuinya sekiranya pandai mencarinya selepas majlis angkat sumpah yang mungkin mengambil masa sehingga dua jam itu.

“Senarai nama itu saya tahu, tetapi kini sedang menunggu untuk mendapat perkenan Tuanku Sultan.

“Untuk malam ini kita tidak merancang mengumumkannya, tetapi esok ada kemungkinan memberitahu kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Rusila, Marang, hari ini.

Hussien tidak dapat mengesahkan sama ada nama Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu seperti diuar-uarkan.

“Siapa yang menamakan beliau (Dr Ahmad Samsuri) kerana saya tidak ada dengar mengenainya.

“Tunggulah perkenan tuanku dahulu dan selesai majlis angkat sumpah,” katanya yang juga mantan Yang di-Pertua DUN Terengganu.

Sebelum ini, dilaporkan PAS mencongak tiga nama untuk dilantik sebagai Menteri Besar termasuk Dr Ahmad Samsuri.

Khabar angin nama Dr Ahmad Samsuri selaku Setiausaha Politik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak 2008 bertiup kencang dalam kalangan kepemimpinan parti itu sebelum ini.

Ahmad Samsuri yang juga bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pakar aeroangkasa terpilih antara calon Menteri Besar dalam usaha parti itu menampilkan generasi kepimpinan baharu di negeri itu dengan menggembleng tenaga teknokrat dan ulama.

Dua calon lain turut menjadi bualan ialah ADUN Bukit Tunggal, Dr Alias Razak yang juga ADUN paling kanan yang memenangi kerusi itu pada PRU 1999, 2008 dan 2013.

Dr Alias adalah Pesuruhjaya II PAS Terengganu yang bertanggungjawab menyusun ‘road map’ pilihan raya untuk menawan kembali Terengganu pada PRU kali ini.

Beliau juga pemimpin yang bertanggungjawab menyusun manifesto PAS selain memegang kerusi yang menjadi kubu selamat PAS di negeri itu.

Selain itu, PAS Pusat turut mempertimbangkan ADUN Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah yang menang dua penggal di kerusi berkenaan sejak PRU 2008.

Mohd Nor adalah antara Ketua Penerangan PAS Terengganu yang berjaya selain menjadi anak didik Abdul Hadi yang selalu menggantikan tempatnya untuk menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Masjid Rusila.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang pernah menjadi Menteri Besar Terengganu selama sepenggal apabila parti berkenaan berjaya menawan Terengganu pada 1999.

Kali ini, PAS berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 22 kerusi daripada 32 kerusi DUN Terengganu.

Ditanya mengenai langkah awal bakal dilakukan pihaknya selepas membentuk kerajaan negeri, Husein berkata tumpuan diberikan kepada manifesto dan akujanji PAS sebelum ini.

“Kita akan terus memperjuangkan hak royalti minyak dan berharap sekiranya pihak Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Persekutuan nanti dapat menunaikan janjinya.

“PH ada berjanji akan mengembalikan hak royalti minyak kepada Terengganu dan Kelantan dan berharap ia akan ditunaikan,” katanya.

Sementara itu, belumpun membentuk kerajaan, PAS Terengganu disabotaj ahlinya sendiri apabila penyokongnya bertindak merampas dan mengunci balai raya termasuk balai belia di beberapa daerah di negeri ini, hari ini.

Tindakan dilakukan ahli parti di peringkat akar umbi itu bercanggah dengan arahan dan nasihat Abdul Hadi serta mengecewakan Husein.

Beliau berkata, semua ahli parti termasuk di peringkat akar umbi sudah dinasihat tidak melakukan sebarang tindakan termasuk merampas balai raya dan semua kemudahan disediakan kerajaan.

“Tindakan dilakukan sebahagian ahli di peringkat akar umbi itu dianggap cuba mensabotaj dan mencemarkan nama baik PAS.

“PAS negeri tidak pernah mengeluarkan arahan kepada pemimpin dan ahlinya di peringkat akar umbi supaya melakukan tindakan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 5:00 PM