ABDUL Hadi
ABDUL Hadi
Hanneeyzah Bariah Baharin dan Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: “Kami tidak menyesal.” Demikian jawapan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap persepsi banyak pihak bahawa PAS mungkin menyesal meninggalkan pakatan pembangkang sebelum ini yang kini berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, PAS sudah melalui banyak jatuh bangun dalam politik dan ia adalah perkara biasa termasuk kerjasama dengan pihak tertentu yang sentiasa berubah.

“Kami tidak pernah menyesal (tinggalkan pakatan pembangkang yang dulu dikenali sebagai pakatan rakyat).

“Kami pernah meninggalkan kerajaan, pernah dipecat daripada kerajaan, pernah kalah, pernah menang, rebah bangun dalam politik itu biasa sebab dalam politik ini sentiasa berubah.

“Kawan jadi musuh, musuh jadi kawan. Sebab itu kita tidak boleh berkawan sehingga melampaui batas dan tidak boleh bermusuh sehingga melampaui batas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai istiadat mengangkat sumpah jawatan dan watikah pelantikan menteri besar baru serta 10 Exco PAS di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Chendering di sini, malam kelmarin.

Pada istiadat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu ke-15 selepas PAS merampas buat kali ketiga pentadbiran kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN) yang tewas dalam PRU14.

Hadi berkata, PAS yang pernah menjadi kerajaan negeri selama beberapa penggal adalah parti yang paling banyak pengalaman bukan saja kemenangan tetapi juga kekalahan yang menjadikan parti itu kuat dan kekal sehingga kini.

Sementara itu ditanya sama ada PAS bersedia untuk menjalin sebarang kerjasama dengan kerajaan pakatan yang memenangi PRU14 atau Barisan Nasional (BN) yang tewas, beliau berkata, PAS bersedia melakukan apa saja yang baik untuk kepentingan rakyat.

“Kami akan lihat dari segi dasar parti (sebelum jalin sebarang kerjasama). PAS ada dasar sendiri dan Majlis Syura Ulama. Kita berdasarkan kepada Islam dan kita lihat mana yang lebih memberi kebaikan kepada umat Islam dan Islam itu sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 3:02 AM