HADI yakin PAS tidak  menyesal meninggalkan pakatan pembangkang yang kini membentuk kerajaan Persekutuan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
HADI yakin PAS tidak menyesal meninggalkan pakatan pembangkang yang kini membentuk kerajaan Persekutuan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Hanneeyzah Bariah Baharin dan Zatul Iffah Zolkiply


“KITA tidak menyesal,” kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap persepsi banyak pihak bahawa parti itu mungkin menyesal meninggalkan pakatan pembangkang yang kini membentuk kerajaan Persekutuan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Hadi berkata, PAS sudah melalui banyak jatuh bangun dalam politik dan ia adalah perkara biasa termasuk kerjasama dengan pihak tertentu yang sentiasa berubah.

“Kita tidak pernah menyesal (tinggalkan pakatan pembangkang yang dulu dikenali sebagai pakatan rakyat).

“Kita pernah meninggalkan kerajaan, pernah dipecat daripada kerajaan, pernah kalah, pernah menang, rebah bangun dalam politik itu biasa sebab dalam politik ini sentiasa berubah.

“Kawan jadi musuh, musuh jadi kawan. Sebab itu kita tidak boleh berkawan sehingga melampaui batas dan tidak boleh bermusuh sehingga melampaui batas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai istiadat mengangkat sumpah jawatan dan watikah pelantikan menteri besar baharu serta 10 Exco PAS di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, malam tadi.

Pada istiadat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu ke-15, selepas PAS buat kali ketiga merampas pentadbiran kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN) yang tewas dalam PRU-14.

Hadi berkata, PAS yang pernah menjadi kerajaan negeri selama beberapa penggal adalah parti paling banyak pengalaman bukan sahaja kemenangan tetapi juga kekalahan yang menjadikan mereka kuat dan kekal sehingga kini.

Sementara itu, ditanya sama ada PAS bersedia untuk menjalin sebarang kerjasama dengan kerajaan pakatan yang memenangi PRU-14 atau BN yang tewas, beliau berkata, PAS bersedia melakukan apa sahaja yang baik untuk kepentingan rakyat.

“Kita akan lihat daripada segi dasar parti (sebelum jalin sebarang kerjasama). PAS ada dasar sendiri dan Majlis Syura Ulama. Kita berdasar kepada Islam dan kita lihat mana yang lebih memberi kebaikan kepada umat Islam dan Islam itu sendiri,” katanya.

Hadi yang pernah menjadi Menteri Besar Terengganu ketika PAS memenangi PRU-10 pada 1999 mengulangi harapan supaya kerajaan pakatan yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri tidak lagi mengulangi kesilapan dilakukan ketika menjadi pemimpin nombor satu negara sebelum ini.

“Kerajaan Pusat mesti menghormati kerajaan negeri. Dalam perlembagaan, perjanjian sudah ada. Selama ini mereka tidak menghormati (hak negeri), kita harap ia tidak berulang dan tiada lagi campur tangan dalam urusan kerajaan negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 2:05 AM